PRN Negeri Sembilan: DAP tampil 3 muka baharu, kekal 8 penyandang

SEREMBAN – DAP Negeri Sembilan mempertaruhkan tiga muka baharu daripada keseluruhan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Tiga calon baharu berkenaan masing-masing, S Mugunthan(Seremban Jaya), Lee Kai Yet(Mambau) dan Ho Weng Wah(Temiang).

Menurutnya, setiap kali pilihan raya diadakan, parti akan membuat penilaian menyeluruh termasuk mengenal pasti potensi untuk mengetengahkan calon baharu sebagai sebahagian daripada usaha meremajakan parti.

"Kalau penyandang itu masih muda, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan diterima di kawasan, sudah tentu kita kekalkan. Bukan semua perlu ditukar. Saya sendiri juga seorang penyandang.

"Setiap kali pilihan raya, kita akan membuat penilaian dan melihat potensi untuk mengetengahkan muka baharu.

"Namun, memandangkan PRN kali ini diadakan lebih awal daripada jangkaan, proses peremajaan parti tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh seperti yang dirancang," katanya ditemui pemberita selepas mengumumkan calon DUN Temiang di sini pada Isnin.

**media[3580766]**

Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, sekiranya pilihan raya umum diadakan, kemungkinan lebih ramai muka baharu boleh ditampilkan.

Bagaimanapun, katanya, bagi PRN kali ini, DAP memilih pendekatan untuk lebih berhati-hati dengan mengekalkan penyandang yang mempunyai kelebihan kerana sudah dikenali pengundi.

"Ini satu pilihan raya yang kritikal. Kita tidak boleh mengambil risiko untuk mana-mana kerusi.

"Jadi setiap kerusi kita melihat pelbagai faktor dan faktor calon antara yang penting kerana boleh memberikan kesan kepada pola pengundian,"katanya.

Terdahulu, Ho Weng Wah yang merupakan Setiausaha Politik beliau diumumkan sebagai calon DUN Temiang.

Jelas Anthony, meskipun kali pertama bertanding pilihan raya, namun Weng Wah telah berkhidmat dalam parti DAP hampir 15 tahun dan telah merupakan pembantu beliau di Pejabat Parlimen Seremban.