Momentum sokongan PN merosot

SHAH ALAM - Prestasi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini didakwa merudum apabila gabungan itu bukan sahaja gagal menambah penguasaan, malah kehilangan kesemua tiga kerusi yang dimenangi pada PRN 2022.

Keputusan itu sekali gus memberi gambaran momentum sokongan terhadap PN semakin merosot, terutama apabila gabungan berkenaan gagal mempertahankan kedudukannya sebagai pencabar utama Barisan Nasional (BN) dalam persaingan merebut sokongan pengundi Melayu.

Jika dibandingkan dengan PRN 2022, PN ketika itu berjaya memenangi tiga kerusi menerusi kemenangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bukit Kepong dan Endau, manakala Pas menguasai Maharani.

Bagaimanapun, keputusan kali ini menyaksikan PN gagal mempertahankan ketiga-tiga kerusi berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan kemampuan gabungan itu untuk mengekalkan pengaruh di Johor.

Kemerosotan tersebut berlaku selepas PN mencatat peningkatan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan gabungan tersebut muncul sebagai antara kuasa politik utama negara khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Bagaimanapun, momentum dibina menerusi sentimen politik nasional itu dilihat gagal diterjemahkan dalam konteks PRN Johor apabila pengundi lebih cenderung menilai prestasi kerajaan negeri, kekuatan calon, isu setempat dan kemampuan sesebuah parti menawarkan kestabilan dan hala tuju pentadbiran yang meyakinkan.

Dalam persaingan tersebut, BN dilihat lebih berjaya mengetengahkan naratif kestabilan, kesinambungan pentadbiran dan pembangunan negeri, manakala PN gagal menawarkan naratif alternatif yang cukup kuat untuk meyakinkan pengundi.

Pandangan terbabit turut dikongsi penganalisis politik, Mujibu Abd Muis yang memaklumkan, kekalahan PN bukan disebabkan satu faktor semata-mata, sebaliknya gabungan kelemahan strategi, kepimpinan dan persepsi pengundi.

Menurutnya, faktor paling ketara ialah kegagalan PN meyakinkan pengundi bahawa mereka masih gabungan yang padu dan bersedia untuk mentadbir.

“Hubungan renggang antara Pas dan Bersatu sepanjang kempen menimbulkan persepsi bahawa gabungan itu berdepan krisis kesepaduan.

“Pada masa sama, PN juga gagal membina naratif jelas dan relevan dengan karakter PRN Johor. Ketika BN bawa mesej kestabilan, kesinambungan pentadbiran dan pembangunan negeri, PN tidak berjaya menawarkan naratif alternatif yang cukup meyakinkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas beliau, perkembangan tersebut turut mencetuskan fenomena bandwagon effect apabila pengundi cenderung memberikan sokongan kepada parti atau gabungan yang dilihat mempunyai momentum dan peluang lebih cerah untuk mencapai kemenangan.

“Lebih penting lagi, PRN Johor menunjukkan bahawa politik persepsi sama penting dengan politik angka.

“Sebaik sahaja pengundi melihat sesebuah gabungan tidak lagi mempunyai momentum untuk menang, fenomena bandwagon effect mula berlaku iaitu pengundi beralih menyokong parti yang dilihat lebih berpotensi membentuk kerajaan,” ujarnya.

Mujibu berkata, antara faktor lain termasuklah BN berjaya menyesuaikan strategi dengan sifat PRN yang lebih menumpukan isu negeri apabila prestasi kerajaan Johor dan populariti menteri besar menjadi faktor lebih dominan berbanding isu nasional.

“Dalam PRN, pengundi lebih menilai prestasi kerajaan negeri, kekuatan calon dan isu setempat. PN dilihat gagal menyesuaikan pendekatan dengan perubahan ini,” katanya.

Tambah beliau, kelemahan organisasi dan jentera turut memberi kesan kerana PRN sangat bergantung pada kekuatan operasi di peringkat akar umbi.