Isyarat PH perlu perbaharui naratif politik

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi isyarat Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan penilaian menyeluruh terhadap strategi politik dan pendekatannya kepada rakyat.

PH yang hanya menang lapan daripada 56 kerusi ditandingi berbanding 12 kerusi pada PRN terdahulu, bukan sahaja gagal menambah pengaruh, malah kehilangan beberapa kubu tradisi, khususnya milik DAP.

DAP yang bertanding di 17 kerusi hanya berjaya mempertahankan Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Senai, Skudai dan Stulang, manakala PKR dan Amanah, masing-masing menang satu kerusi di Simpang Jeram serta Puteri Wangsa.

Empat kerusi yang terlepas kepada BN ialah Jementah, Tangkak, Johor Jaya dan Perling.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kemerosotan prestasi itu didorong beberapa faktor, antaranya kegagalan PH menawarkan naratif lebih meyakinkan berbanding BN, khususnya dalam isu kestabilan politik, kepimpinan negeri dan penyelesaian masalah rakyat.

Menurutnya, keputusan PH merosot daripada 12 kepada lapan kerusi menunjukkan gabungan itu bukan sahaja gagal memperluas sokongan, malah kehilangan sebahagian kubu sedia ada.

"Kemenangan 48 daripada 56 kerusi oleh BN juga menunjukkan penolakan terhadap PH berlaku secara agak menyeluruh dan bukan hanya disebabkan kelemahan beberapa calon.

"PH perlu menilai semula strategi, pemilihan calon dan hubungannya dengan pengundi akar umbi di Johor," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya sama ada kelemahan kempen atau sentimen rakyat Johor yang berbeza menjadi penyebab DAP hilang empat kerusi tradisi parti itu, Mohammad Tawfik berkata, keputusan itu didorong beberapa faktor.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tsunami Cina yang merebak daripada PRN Sabah pada November lalu turut mempengaruhi pengundi di Johor.

"Kekalahan DAP juga berpunca daripada gabungan kelemahan kempen, faktor calon, kekuatan jentera BN dan perubahan sentimen sebahagian pengundi bukan Melayu.

"Mereka tidak lagi boleh dianggap akan memberikan sokongan secara automatik kepada DAP atau PH," ujarnya.

Malah, katanya, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kempen dilihat tidak banyak membantu memberi kelebihan kepada PH kerana pengundi di Johor lebih menilai rekod pentadbiran negeri, hubungan calon dengan kawasan dan kestabilan politik.

"Bagi saya, ini menunjukkan populariti pemimpin nasional sahaja tidak mencukupi untuk memenangkan calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Bukan penolakan menyeluruh

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berpandangan keputusan PRN Johor tidak boleh ditafsirkan sebagai penolakan menyeluruh terhadap PH.

Ini kerana katanya, PH masih memperoleh sekitar 32.6 peratus undi popular walaupun hanya menang lapan atau 14.3 peratus daripada keseluruhan kerusi.

Ia sekali gus menunjukkan sistem first-past-the-post atau pemenang undi terbanyak telah memperbesarkan kemenangan BN dari segi agihan kerusi.

"Pada pandangan saya, keputusan ini merupakan satu setback kepada PH tetapi bukan penolakan menyeluruh terhadap gabungan tersebut.

"Komposisi enam kerusi DAP dan masing-masing, satu kerusi PKR serta Amanah turut menunjukkan prestasi PH tidak seimbang.

"DAP masih menjadi tonggak utama PH di Johor, khususnya di kawasan bandar dan majoriti bukan Melayu, sedangkan PKR dan Amanah belum berjaya memperluas pengaruh dengan berkesan di kawasan Melayu, luar bandar dan separa bandar," ujarnya.

Mengulas mengenai pelbagai reformasi dan rasionalisasi subsidi yang dibuat kerajaan tetapi didakwa masih gagal menawan hati rakyat luar bandar berbanding bandar, Mashitah tidak melihat isu itu sebagai pembahagian mudah.

Menurutnya, reformasi ekonomi seperti rasionalisasi subsidi boleh diterima oleh kedua-dua kelompok sekiranya tujuan, manfaat dan perlindungan kepada golongan terjejas diterangkan dengan jelas.

Ujar beliau, masalah utama ialah kos sesuatu reformasi selalunya dirasai dengan segera, sedangkan manfaatnya bersifat jangka sederhana atau panjang.

"Rakyat mungkin memahami keperluan mengurangkan ketirisan dan memastikan subsidi lebih bersasar tetapi mereka tetap menilai kesannya terhadap harga barang, pengangkutan, pendapatan serta kos sara hidup.

"Dalam PRN pula, pengundi bukan hanya membuat penilaian terhadap dasar kerajaan Persekutuan, mereka turut menilai prestasi kerajaan negeri, calon dan isu kawasan.

"Justeru, kekalahan PH tidak membuktikan reformasi hanya dikehendaki pengundi bandar, malah PH turut kehilangan kerusi bandar dan separa bandar," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kehadiran Parti Bersama Malaysia (Bersama) menjejaskan peluang PH, Mashitah berkata, parti itu hanya memberi kesan kepada pemecahan undi di beberapa kerusi marginal dan tidak boleh dianggap punca utama kekalahan PH di seluruh Johor.

"Berdasarkan keputusan di Bukit Batu, BN menang dengan majoriti hanya 174 undi, sedangkan calon Bersama memperoleh 821 undi.

"Di Perling pula, BN menang dengan majoriti 1,611 undi, manakala calon Bersama menerima 2,996 undi. Secara matematik, sekiranya sebahagian besar undi tersebut diberikan kepada PH, keputusan mungkin berubah," katanya.

Justeru, Mashitah berkata, kesan Bersama lebih bersifat marginal tetapi signifikan di beberapa kerusi sengit, bukannya faktor struktural yang menjelaskan kemenangan 48 kerusi BN kerana kekuatan parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pemindahan undi Perikatan Nasional (PN), kelemahan mobilisasi PH dan faktor calon tempatan lebih besar pengaruhnya.

Dalam pada itu, Mashitah turut mengakui sentimen kemenangan BN di Johor akan memberi kesan positif kepada parti itu menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya, keputusan Johor tidak boleh diterjemahkan secara langsung ke Negeri Sembilan kerana struktur politik kedua-dua negeri berbeza.

Di Johor, ujarnya, BN ialah kerajaan negeri dan bertanding berasaskan rekod Menteri Besar serta kekuatan jentera sendiri.

"Di Negeri Sembilan, PH dan BN membentuk kerajaan negeri bersama selepas memenangi 31 daripada 36 kerusi pada 2023, PH dengan 17 kerusi dan BN 14 kerusi, manakala PN memiliki lima kerusi.

"Cabaran PH di Negeri Sembilan ialah memastikan pengundi tidak hilang semangat selepas keputusan Johor. PH juga perlu menampilkan rekod kerajaan negeri, kepimpinan Menteri Besar dan isu tempatan, bukannya menjadikan kempen semata-mata sebagai pembelaan terhadap kerajaan Persekutuan," katanya.

Tambah beliau, PH masih mempunyai asas kukuh di Negeri Sembilan khususnya melalui 11 kerusi DAP yang disandang dan kekuatan di kawasan bandar serta campuran.

Justeru, katanya, keputusan Johor adalah satu amaran kepada PH, bukan ramalan automatik bahawa keputusan sama akan berlaku di Negeri Sembilan.

"Jika PH dan BN gagal mengurus hubungan, pertindihan sokongan serta naratif kerajaan bersama, mereka boleh kehilangan undi kepada PN atau berdepan protes pengundi.

"Tetapi jika prestasi kerajaan negeri dapat diterjemahkan kepada isu setempat dan jentera dapat digerakkan dengan baik, PH masih mempunyai peluang mempertahankan kedudukannya," katanya.