Bersatu terima kekalahan, ucap tahniah kepada Onn Hafiz dan BN

MUAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 serta mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat baharu untuk membentuk kerajaan negeri.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kemenangan gabungan itu pada pilihan raya berkenaan.

Menurutnya, Bersatu menghormati keputusan rakyat Johor yang memberikan sokongan kepada calon-calon parti itu di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi atas tiket Perikatan Nasional (PN).

"Demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat merupakan asas penting kepada kemajuan negara.

"Secara keseluruhan, jumlah undi yang diterima adalah baik dan tapak sokongan ini akan terus diperluaskan pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Bersatu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus membantu calon sepanjang kempen pilihan raya.

Katanya, semangat setiakawan dan kesetiaan jentera kepada perjuangan parti amat dihargai.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, Bersatu akan meneliti secara menyeluruh keputusan PRN Johor sebelum melaksanakan bedah siasat bagi mengenal pasti langkah strategik untuk memperkukuh perjuangan parti.

"Langkah ini penting bagi memperkasakan Bersatu untuk terus membawa agenda rakyat Malaysia pada masa hadapan," katanya.