'Politik kebencian tidak lagi berkesan di Johor' - Hishammuddin

JOHOR BAHRU - Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan rakyat negeri ini menolak politik kebencian dan memilih kepimpinan yang memberi tumpuan kepada khidmat serta penyampaian.

Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) bukan sekadar membawa mandat untuk mentadbir, malah menjadi mesej jelas bahawa pendekatan berasaskan perpecahan dan kebencian tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan rakyat Johor.

"Saya menghormati keputusan yang dibuat rakyat Johor. Ia menunjukkan satu kesedaran yang sangat realistik bahawa tidak kira apa yang dilakukan atau diperkatakan, jika kita memainkan politik kebencian, politik perpecahan atau terlalu memanjakan individu dan pemimpin, akhirnya rakyat akan menentukan siapa yang mereka mahu memimpin negeri ini.

"Ini adalah contoh bahawa politik kebencian tidak lagi berfungsi. Kita perlu berkhidmat, menyampaikan apa yang dijanjikan dan bertanggungjawab kepada rakyat.

"Jika kita lakukan semua itu, tidak kira warna kulit atau agama, siapa yang kita berkhidmat, itulah mesej yang mahu kita bawa dari Johor kepada seluruh negara," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini pada Sabtu.

Ditanya tentang kemenangan besar BN, Hishammuddin berkata, beliau tidak mahu membuat andaian mengenai faktor kemenangan sebaliknya menegaskan keutamaan kini ialah menunaikan segala janji yang telah dibuat kepada rakyat.

"Saya tidak tahu apa faktornya. Apa yang penting, sekarang kita telah mendapat mandat yang besar untuk memastikan segala yang telah kita janjikan kepada rakyat dan Bangsa Johor dapat kita tunaikan," jelasnya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila sokongan pengundi dilihat merentasi sempadan kaum sehingga menyaksikan calon daripada pelbagai latar belakang diterima di kawasan yang majoriti pengundinya berlainan kaum.

"Saya gembira kerana mandat yang diberikan merangkumi penawaran kita apabila calon bukan Melayu mendapat sokongan di kawasan majoriti Cina, manakala kawasan Melayu pula memberikan sokongan kepada calon India.

"Itu merupakan satu gambaran yang luar biasa. Jika ia menjadi contoh kepada kekuatan dalam kepelbagaian, itu merupakan sesuatu yang saya cukup bangga dengan kemenangan kita hari ini," katanya.

Ditanya mengenai sokongan pengundi Cina terhadap BN, Hishammuddin berkata, beliau belum meneliti keputusan mengikut kawasan secara terperinci.

Bagaimanapun katanya, perkara paling utama ialah BN telah diberikan mandat untuk mentadbir dan berkhidmat kepada seluruh rakyat Johor tanpa mengira kaum atau latar belakang.

"Kita telah diberikan mandat untuk mentadbir dan berkhidmat kepada semua. Jadi, sama ada mereka menyokong kita atau tidak, Melayu, Cina atau India, selagi mereka rakyat Johor, menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk melaksanakan segala yang telah kita janjikan kepada mereka," katanya.