'Onn Hafiz bukan pengkhianat' - Zahid Hamidi

ISKANDAR PUTERI - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengkhianati Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan apabila membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lebih awal.

Pada masa sama, beliau turut mempertahankan keputusan Onn Hafiz untuk memimpin BN bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Keputusan itu dibuat bagi mempertahankan kerajaan negeri pimpinan BN yang telah dibentuk sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Datuk Onn Hafiz mesti disokong dan didukung untuk terus mempertahankan kerajaan Barisan Nasional di Johor.

"Itulah sebabnya beliau perlu memimpin sebuah kerajaan yang kukuh kerana kerajaan negeri Johor ialah kerajaan Barisan Nasional, bukannya Kerajaan Perpaduan seperti di Putrajaya," katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Pengerusi Barisan Nasional bersama pengundi di Iskandar Puteri, di sini pada Rabu.

Tambahnya, kerajaan negeri Johor telah dibentuk di bawah pentadbiran BN sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Mengulas kritikan bahawa Onn Hafiz bertindak bertentangan dengan semangat kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan, Ahmad Zahid menolak dakwaan itu dan menegaskan Menteri Besar Johor tersebut kekal setia kepada gabungan berkenaan.

"Itulah sebabnya Datuk Onn Hafiz mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua kerusi di Johor. Walaupun beliau dituduh sebagai pengkhianat atau mengkhianati Kerajaan Perpaduan, saya mempertahankan keputusan beliau.

"Beliau tidak mengkhianati sesiapa. Beliau hanya berusaha mempertahankan kerajaan Barisan Nasional di Johor.

"Mengapa ia dianggap sebagai satu pengkhianatan? Ia bukan satu pengkhianatan. Saya mengenali beliau dengan baik dan beliau tidak pernah mengkhianati sesiapa," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor.

BN bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi DUN walaupun parti itu kekal sebagai komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bersama PH.

Keputusan untuk bertanding secara solo diperjuangkan oleh Onn Hafiz sebelum disokong Ahmad Zahid selepas gabungan itu mengambil kira maklum balas akar umbi yang mahu BN mendapatkan mandat baharu secara bersendirian di Johor.