PRN Johor: Calon PN DUN Senggarang guna papan tanda tulisan Jawa

BATU PAHAT – Kempen calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang menarik perhatian apabila menggunakan papan tanda dalam tulisan bahasa Jawa.

Calon PN DUN Senggarang, Datuk Rashid Hasnon berkata, penggunaan bahasa Jawa itu dipilih mengambil kira latar belakang masyarakat setempat yang mempunyai ramai penduduk berketurunan Jawa.

Menurutnya, sebahagian besar penduduk di beberapa kampung dalam kawasan itu masih menggunakan bahasa Jawa dalam pertuturan harian, sekali gus menjadikan pendekatan tersebut lebih dekat dengan komuniti tempatan.

“Ramai pengundi di kampung ini orang Jawa. Saya ambil peluang menggunakan bahasa Jawa sebagai tanda menghargai masyarakat di sini," katanya ketika dihubungi.

Papan tanda kempen berkenaan memaparkan ungkapan dalam bahasa Jawa iaitu “Sak tenane, wong sing mimpin kuwi mulya nek rakyate urip tentrem, cukup rejekine, lan sejahtera.”

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu menjelaskan, ungkapan itu membawa maksud seseorang pemimpin hanya dianggap mulia apabila rakyat yang dipimpinnya hidup dalam keadaan aman, tenteram, mempunyai rezeki mencukupi serta menikmati kehidupan sejahtera.

Beliau berkata, bahasa dan budaya tempatan memainkan peranan penting dalam membina hubungan lebih rapat antara calon dengan masyarakat, terutama ketika tempoh berkempen.

“Apabila kita memahami budaya dan bahasa masyarakat setempat, ia menunjukkan kita menghargai latar belakang mereka serta sejarah komuniti yang ada di kawasan ini,” katanya.