'Debat politik permintaan rakyat, bukan saya mendesak' - Maszlee

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH), Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menegaskan cadangan mengadakan debat politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan datang daripadanya.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, debat politik merupakan permintaan generasi muda dan rakyat yang mahu mendengar sendiri tawaran daripada parti yang bertanding.

"Saya membaca laporan yang memberi gambaran seolah-olah saya yang mendesaknya.

"Hakikatnya, selepas penamaan calon, ramai netizen meminta diadakan debat antara wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

"Rakyat mahu mendengar sendiri hala tuju yang ditawarkan dan membuat penilaian berdasarkan hujah kedua-dua pihak," katanya pada sesi Dialog PRN Johor anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro AWANI dan Sinar Harian di Auditorium RTM, Jabatan Penyiaran Negeri Johor di sini pada malam Selasa.

Program berkenaan tetap diteruskan seperti dijadualkan meskipun Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan tidak dapat menghadiri program berkenaan kerana mempunyai komitmen yang telah ditetapkan lebih awal.

Maszlee berkata, amalan debat politik sudah lama menjadi kebiasaan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, malah ahli politik di negara tersebut dinilai berdasarkan kemampuan mempertahankan dasar serta idea mereka.

Menurutnya, alasan bahawa debat bukan budaya di sini atau hanya sesuai jika melibatkan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama tidak seharusnya dijadikan halangan.

"Apa yang ingin dibincangkan ialah masa depan Johor, bukannya isu sebuah DUN semata-mata.

"Saya sentiasa terbuka kepada apa juga bentuk dialog atau perbincangan yang menghargai pemikiran dan maruah rakyat," katanya.

Maszlee turut mengingatkan rakyat kini semakin matang dan tidak lagi boleh dipandang rendah dalam membuat keputusan politik.

Beliau berkata, politik baharu perlu memberi ruang kepada rakyat menilai hujah, dasar dan idea secara terbuka, berbeza dengan politik lama yang menurutnya lebih cenderung mengelakkan perbahasan serta persoalan daripada rakyat.

"Politik baharu menghargai pemikiran rakyat, mengangkat maruah mereka dan menggalakkan rakyat menilai dasar secara matang.

"Kita perlu meninggalkan politik lapuk dan menyambut politik yang benar-benar berpaksikan rakyat," katanya.