SHAH ALAM - Perbuatan menjadikan talkin sebagai gimik kempen pilihan raya demi menarik perhatian pengundi memberi sedikit gambaran yang tidak baik kepada umat Islam memandangkan Malaysia berpegang pada Mazhab Syafie.
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, mengikut mazhab tersebut, talkin sunat untuk dibaca sebagai peringatan kepada orang yang hidup.
Kata beliau, seelok-eloknya umat Islam tidak melibatkan perkara-perkara berkaitan agama dengan amalan yang mungkin mengguris hati mana-mana pihak hingga membawa kepada pertelingkahan.
Bagaimanapun, jelasnya, bait ayat 'apabila diberi RM100, mintalah RM500' memang kedengaran sensitif seolah-olah menggalakkan pengundi untuk menerima sogokan sepanjang tempoh berkempen.
"Video tersebut seakan-akan mengajak orang ramai untuk memberi dan menerima rasuah serta menggalakkan amalan meminta-minta daripada orang lain lebih-lebih lagi ketika musim pilihan raya.
"Ayat seperti ini amat sensitif walaupun nampak lawak. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun dah pesan jangan guna kaedah sogok-menyogok macam itu. Menabur janji, projek apatah lagi menyebut tentang duit.
"Sepatutnya dia cakaplah tak perlu beri apa-apa duit kerana ini adalah tanggungjawab pengundi dalam memilih pemimpin yang amanah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menarik perhatian apabila membacakan talkin khusus buat pengundi di negeri itu sebagai gimik kempen Pilihan Raya Johor (PRN) Johor ke-16 yang berbaki empat hari lagi.
Beliau secara seloroh berkata, pengundi patut mengambil kesempatan yang ada ketika ini untuk meminta apa sahaja, tidak kira daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan lain-lain asalkan jangan mengundi parti berkenaan.
Bagaimanapun, perkara tersebut menjadi perdebatan ramai apabila kaedah digunakan didakwa mempersendakan agama dan seolah-olah menggalakkan pengundi untuk menerima sogokan sepanjang tempoh berkempen.