PALOH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Dr Ruban Arumugam terpaksa membatalkan keseluruhan jadual kempennya pada Selasa selepas mengalami sakit tulang belakang yang dipercayai berpunca daripada masalah 'slip disc' berulang.
Dr Ruban berkata, keputusan itu dibuat dengan berat hati selepas mengalami kesakitan sebaik sahaja bangun tidur pada pagi berkenaan.
Katanya, kesakitan yang dialami menghalangnya meneruskan siri lawatan ke beberapa lokasi termasuk pusat pengundian awal di Kampung Gajah dan Kampung Sri Tambak.
"Saya syak bahawa sakit 'slip disc' saya kembali semula. Ini semua gara-gara jadual kempen yang sangat padat, dipenuhi dengan walkabout dan pelbagai program yang berlangsung tanpa henti sejak minggu lepas hari pertama lagi.
"Ini bukan mengungkit, saya risau nanti orang tanya mana calon apabila mereka tidak nampak saya mengedar bahan kempen atau di kopitiam untuk berkempen.
"Dengan hati yang berat, saya terpaksa membatalkan semua program saya pada pagi ini," katanya dalam hantaran di media sosial di sini pada Selasa.
Ruben Arumugam turut memohon maaf kepada pasukan jentera serta semua warga yang telah meluangkan masa untuk bertemunya.
Jelasnya, doktor menasihatkan supaya beliau berehat seketika agar keadaan ini tidak menjadi lebih serius.
"Saya harap dapat kembali pulih secepat mungkin. Walaupun dah selesaikan walkabout di banyak taman dan lokasi, saya masih nak pusing-pusing untuk kali kedua dan ketiga.Masih ramai yang ingin saya temui dan santuni sebelum hari pengundian.
"Terima kasih atas setiap doa, mesej dan kata-kata semangat yang diberikan. Sokongan anda benar-benar memberikan kekuatan kepada saya," katanya.