PRN Johor: Dakwaan pelajar TVET dijadikan sasaran kempen BN, Onn Hafiz digesa beri penjelasan

KULAI - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi digesa memberikan penjelasan berhubung dakwaan sekumpulan pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diwajibkan menghadiri satu program yang kemudian digunakan untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, pihaknya menerima aduan daripada ibu bapa dan pelajar yang mendakwa mereka diwajibkan menghadiri Program Jelajah TVET MARA Negeri Johor di Dewan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kluang pada 4 Julai lepas.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, arahan itu disertakan dengan amaran bahawa ketidakhadiran akan dianggap sebagai ponteng, namun program berkenaan didakwa bertukar menjadi platform meraih sokongan untuk calon Barisan Nasional (BN).

"Dalam program itu Onn Hafiz hadir. Kehadiran beliau ke program kerajaan bukan isu tetapi apa yang kami persoalkan ialah beliau didakwa menggunakan pentas itu untuk menyeru pelajar mengundi calon BN dengan menyebut nombor calon secara terbuka.

"Kalau ini program kerajaan, tidak sepatutnya digunakan untuk berkempen tetapi kalau ini program parti, saya mahu tahu adakah dewan milik agensi kerajaan boleh digunakan untuk tujuan kempen politik,” katanya kepada Bernama selepas Forum Kedai Kopi di sini hari ini.

Turut hadir pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senai, Wong Bor Yang.

Nie Ching berkata, pihaknya turut mempunyai salinan atur cara program, surat arahan kehadiran wajib serta rakaman video yang didakwa memaparkan ucapan berunsur kempen itu.

"Saya bercakap bukan sebagai Pengerusi DAP Johor tetapi sebagai seorang ibu. Bayangkan jika anak kita dipaksa menghadiri satu program dan akhirnya diminta menyokong mana-mana parti politik,” katanya.

Mengenai tindakan susulan, beliau menyerahkan kepada calon-calon PH untuk mempertimbangkan langkah sewajarnya, termasuk kemungkinan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, Nie Ching turut menyelar kenyataan Onn Hafiz yang menggesa beberapa dasar kerajaan Persekutuan dikaji semula kerana didakwa membebankan rakyat, sambil menyifatkan kritikan itu sebagai tidak wajar.

"Kalau dasar itu baik, mereka kata ia kejayaan kerajaan negeri tetapi apabila dasar itu tidak popular, mereka salahkan Perdana Menteri, DAP atau PKR. Sedangkan semua dasar utama perlu dipersetujui Kabinet terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Kit Siang menyeru pengundi PRN Johor supaya menolak politik perkauman dan bersatu merealisasikan "Impian Malaysia” yang berteraskan kesaksamaan, kebebasan, kemakmuran serta penghormatan terhadap hak asasi manusia.

Beliau berkata, pembinaan sebuah Malaysia yang bersatu tidak boleh dicapai dalam sehari, justeru pengundi perlu menyatukan sokongan dan tidak memecahkan undi bagi memastikan matlamat itu dapat direalisasikan.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini manakala pengundian awal berlangsung hari ini. - Bernama