Ketua AMK Johor dakwa Akmal Saleh gagal fahami isu rumah rakyat

JOHOR BAHRU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sekali lagi gagal memahami isu yang dibangkitkan berkaitan ekonomi, kali ini melibatkan penyediaan rumah mampu milik di Johor.

Faezuddin yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kempas berkata, Akmal tersasar apabila membandingkan harga pasaran rumah di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri mengenai perumahan rakyat.

Menurutnya, Perdana Menteri tidak pernah membandingkan harga rumah antara negeri, sebaliknya membangkitkan persoalan sama ada kerajaan negeri memastikan rakyat mempunyai akses kepada rumah mampu milik yang mencukupi, mampu dibeli dan dibina di lokasi yang sesuai.

"Harga pasaran rumah dan projek rumah rakyat adalah dua perkara yang berbeza. Harga rumah ditentukan oleh pasaran, tetapi menyediakan rumah mampu milik merupakan tanggungjawab kerajaan.

"Kalau masih gagal membezakan dua perkara asas ini, tidak hairanlah sebelum ini beliau juga keliru antara kadar pertumbuhan ekonomi dengan saiz ekonomi negeri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, sehingga tahun 2025, Kerajaan Madani telah melaksanakan 72,864 unit rumah mampu milik menerusi 101 projek di Wilayah Persekutuan, meliputi projek yang siap, sedang dibina dan telah mendapat kelulusan pembangunan.

Katanya, jumlah itu mewakili 91 peratus daripada sasaran pembinaan 80,000 unit bagi tempoh 2018 hingga 2028.

"Di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 pula, kerajaan memperkenalkan Residensi Madani dengan harga sekitar RM200,000 seunit, termasuk sasaran membina 8,000 unit di Kuala Lumpur dan lebih 10,000 unit di Putrajaya.

"Di Selangor pula, sehingga 31 Mei 2025, kerajaan negeri meluluskan 472 projek melibatkan 256,065 unit Rumah Selangorku dengan 44,020 unit telah siap dan diserahkan kepada pemilik, manakala 29,458 unit lagi sedang dibina.

"Bagi tempoh 2021 hingga 2025, Selangor berjaya menawarkan 59,263 unit berbanding sasaran 60,000 unit, bersamaan 98.77 peratus pencapaian," katanya.

Mengulas prestasi Johor, beliau berkata, kerajaan negeri menetapkan sasaran membina 100,000 Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030 dengan 30,000 unit disasarkan bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Bagaimanapun, katanya, sehingga 29 Jun lalu hanya 21,412 unit berjaya direalisasikan, manakala 8,588 unit lagi dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.

Beliau turut mendakwa laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi suku pertama 2026 menunjukkan Johor merekodkan 3,852 unit kediaman siap dibina tetapi tidak terjual, selain 9,972 unit pangsapuri khidmat yang turut tidak terjual.

"Keadaan ini menunjukkan pembangunan hartanah memang rancak, namun sebahagian besar tidak memenuhi kemampuan atau keperluan sebenar rakyat tempatan.

"Justeru, isunya ialah sama ada kerajaan negeri berjaya mengimbangi pembangunan hartanah dengan penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata, sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor, gabungan itu komited menyemak semula dasar perumahan negeri, mempercepat pembinaan rumah mampu milik di lokasi strategik dan memastikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai rakyat Johor.

Sebelum ini Dr Muhamad Akmal mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa harga rumah mahal di Johor berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan kediaman mampu milik.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, beliau menarik perhatian dengan mengemukakan fakta purata harga rumah di Malaysia, yang mana pasaran tertinggi sebenarnya direkodkan di Kuala Lumpur dan Selangor.