Fahmi minta pegawai penerangan turun bantu kumpul maklumat keluarga memerlukan

BATU PAHAT - Pegawai Penerangan Daerah di seluruh negara diminta mempergiat usaha turun padang bagi membantu mengenal pasti dan mengumpul maklumat keluarga yang memerlukan untuk disalurkan kepada agensi berkaitan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.

Menurutnya, menerusi Program Ziarah Kasih Kementerian Komunikasi bersama Jabatan Penerangan, beliau berpeluang menziarahi dua keluarga yang berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan dan kehilangan punca pendapatan.

"Kami berkesempatan menziarahi dua keluarga untuk melihat sendiri keadaan mereka. Ada yang berdepan masalah kesihatan dan dugaan kerana tidak dapat bekerja.

"Saya melihat Jabatan Penerangan memainkan peranan penting apabila turun ke lapangan dan menghubungkan keluarga yang memerlukan dengan agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sistem e-Kasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Kasih Kementerian Komunikasi DUN Semerah di Parit Maimon Parit Sulung pada Ahad.

Fahmi berkata, hasil lawatan itu turut mendapati terdapat beberapa isu kebajikan yang dihadapi penduduk termasuk melibatkan waris dan tanah.

"Walaupun isu itu nampak kecil, sekurang-kurangnya kita boleh membantu menghubungkan mereka dengan JKM atau agensi berkaitan.

"Saya berharap pada masa akan datang program seperti ini dapat dilaksanakan bersama lebih banyak agensi supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh," katanya.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar yang turut serta pada program itu berkata, beliau akan meneruskan pendekatan turun padang bagi mengenal pasti permasalahan penduduk sekiranya diberi mandat.

"Insya-ALLAH, jika diberi mandat, saya akan memastikan setiap permasalahan yang dikenal pasti dapat dibawa kepada pihak berwajib untuk tindakan sewajarnya.

"Kita bukan sahaja akan turun padang di kawasan yang dilawati hari ini, malah di seluruh DUN Semerah bagi memastikan kebajikan penduduk terus diberi perhatian," katanya.