KLUANG – "PMX berpesan supaya kami bekerja bersungguh-sungguh dan mengelakkan permusuhan sepanjang tempoh kempen yang mencabar ini."
Demikian kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Nor Hafiz Roslan, mengenai pesanan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir di Simpang Renggam pada pagi Ahad.
Menurutnya, kehadiran Anwar menyuntik semangat baharu kepada beliau dan calon PH DUN Layang-Layang, Guna Balakrishnan untuk meneruskan komitmen sehingga penghujung kempen.
"Beliau membantu orang ramai mengenali kita, memahami perjuangan kita dan mengetahui apa yang ingin kita bawa.
"Itu yang saya faham dengan maksud bekerja bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui selepas program sarapan bersama penduduk dan jentera PH di Warung Pak Din, Kampung Sahri, Simpang Renggam.
Nor Hafiz berkata, pesanan kedua Anwar ialah supaya kedua-dua calon melakukan amal soleh, berbuat baik dan tidak menjadikan politik sebagai medan permusuhan.
"PMX kata kita datang bukan untuk bermusuh. Kita datang untuk berbakti kepada rakyat, menambah baik kehidupan mereka serta menawarkan perkara yang lebih baik kepada rakyat di Parlimen Simpang Renggam, DUN Machap, DUN Layang-Layang dan seluruh Johor," katanya.
Beliau menganggap dirinya bertuah kerana mendapat suntikan semangat daripada Perdana Menteri ketika kempen memasuki fasa yang semakin rancak.
Sementara itu, Guna Balakrishnan berkata, kehadiran Anwar banyak membantunya menghadapi minggu kedua kempen.
"Setakat ini kempen berjalan lancar dan maklum balas yang diterima amat baik. Namun, saya perlu lebih kerap turun padang untuk bertemu pengundi dan mendengar sendiri masalah mereka," katanya.
Pada PRN Johor kali ini, Nor Hafiz akan berdepan saingan dua penjuru menentang Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada Barisan Nasional (BN), manakala Guna Balakrishnan berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Chua Jian Boon (BN-MCA) dan Abd Mutalip Abd Rahim (PN-Bersatu).