KULAI – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern tampil menggariskan tujuh tekad yang disifatkan sebagai komitmen beliau untuk menyelesaikan isu utama di kawasan itu sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tujuh tekad tersebut diumumkan sempena pelancaran Manifesto DUN Bukit Batu yang disempurnakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini pada Jumaat.
Arthur berkata, tekad pertama ialah mewujudkan Jambatan Kerjaya Industri Pusat Data dengan memperluaskan program peningkatan kemahiran melalui HRD Corp, termasuk bantuan kewangan kepada peserta yang layak bagi meningkatkan peluang pekerjaan penduduk tempatan.
Menurutnya, tekad kedua memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan pelebaran Jalan FT001 serta pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di lokasi-lokasi kritikal.
"Tekad ketiga ialah menaik taraf Klinik Kesihatan Kelapa Sawit bagi meningkatkan kapasiti dan mutu perkhidmatan kesihatan.
"Keempat, mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan vape dan dadah dalam kalangan belia," katanya dalam sidang akhbar.
Beliau berkata, tekad kelima memberi fokus kepada pemerkasaan industri pelancongan DUN Bukit Batu menerusi kerjasama strategik dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan agensi berkaitan.
Katanya, tekad keenam ialah memperluaskan kemudahan serta kapasiti sekolah bagi menampung pertambahan penduduk, manakala tekad ketujuh menyediakan kelas tuisyen percuma bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
Arthur berkata, kesemua tekad itu dirangka berdasarkan keperluan sebenar penduduk dan akan menjadi keutamaan beliau sekiranya terus diberi kepercayaan mewakili DUN Bukit Batu.