PRN Negeri Sembilan: Gerakan sedia bertanding empat kerusi

SEREMBAN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bersedia bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, dua daripada kerusi yang menjadi fokus parti itu ialah DUN Repah dan DUN Temiang, namun ia tertakluk kepada hasil rundingan pembahagian kerusi bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN).

"Gerakan Negeri Sembilan telah mencadangkan supaya kita bertanding di empat kerusi dan cadangan itu selaras dengan hasrat parti.

"Tapi fokus kita ialah DUN Repah dan DUN Temiang. Kita akan bawa cadangan itu dalam proses rundingan kerusi yang akan diadakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Wisma Gerakan Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

**media[3570206]**

Dominic berkata, Gerakan hanya menyasarkan empat kerusi kerana perlu mengambil kira keupayaan parti, terutama berkenaan kekuatan jentera pilihan raya.

Katanya, parti itu tidak mahu bertanding di terlalu banyak kerusi sehingga akhirnya mengalami kekalahan, sekali gus merugikan PN.

"Kerusi Repah dan Temiang pun ada parti lain dalam komponen PN yang telah nyatakan hasrat untuk bertanding. Tapi keputusan akhir akan ditentukan menerusi hasil rundingan nanti," katanya.

Selain itu, Dominic berkata, Gerakan Negeri Sembilan berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik bagi menghadapi PRN, malah pusat operasi dan bilik gerakan di kawasan yang dikenal pasti telah pun disiapkan.

Beliau turut menyatakan keyakinan parti itu mampu meraih kemenangan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.

"Jika tidak ada keyakinan boleh menang, kita pun tak nak bertanding. Oleh itu, keyakinan kita positif.

"Tetapi, seperti yang saya katakan, sumber daya kita terhad. Oleh itu, kita tak boleh bertanding di banyak kerusi walaupun mempunyai hasrat itu," katanya.

Mengulas mengenai calon, beliau berkata, beberapa nama telah dikenal pasti, namun mereka masih perlu melalui beberapa proses tapisan.

"Matlamat kita nak menang dan sebab itu banyak faktor perlu dipertimbangkan walaupun akhirnya nanti pengundi yang membuat keputusan.

"Oleh itu, calon yang kita cadangkan itu kita pun nak tengok prestasi dia dan penerimaan daripada pengundi di kawasan itu," katanya.

Pada PRN 2023, Gerakan bertanding di enam kerusi DUN iaitu Temiang, Lobak, Rahang, Seremban Jaya, Chuah dan Repah, namun kalah di kesemua kerusi berkenaan.