JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) mahu mengubah landskap pembangunan Johor dengan menjadikan negeri itu sebagai kuasa ekonomi yang berdiri atas kekuatan sendiri, bukan lagi sekadar menjadi 'feeder' kepada ekonomi Singapura.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, Johor memiliki semua kelebihan untuk muncul sebagai antara negeri paling maju.
Menurutnya, pelbagai projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link, pembangunan Forest City dan pelabuhan baharu perlu dimanfaatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.
"Johor bukan hanya menjadi penyendal ataupun 'feeder' kepada mana-mana kuasa di rantau ini. Johor mesti mampu berdiri dengan kukuh dan menjadi negeri yang membawa harapan baharu kepada Malaysia.
"Kita mahu rakyat Johor bekerja di Johor dengan gaji yang baik, bukan terpaksa berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk mencari rezeki," katanya dalam ucapan ketika melancarkan Manifesto PH Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi PH Johor yang juga Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaleha Mustafa.
Menteri Besar Selangor itu berkata, PH akan memastikan pembangunan ekonomi diagihkan secara lebih adil ke seluruh negeri meliputi Johor Utara, Johor Tengah, Johor Selatan dan Johor Timur supaya jurang pembangunan antara daerah dapat dikurangkan.
Katanya, jika diberi mandat mentadbir negeri, PH akan menyediakan pelan pembangunan menyeluruh dalam tempoh tiga hingga enam bulan bagi memastikan setiap daerah menikmati limpahan pelaburan dan pembangunan.
Beliau berkata, Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi hab ekonomi bertaraf antarabangsa sekiranya kekuatan negeri digabungkan dengan sokongan kerajaan Persekutuan serta dasar yang memberi tumpuan kepada pelaburan bernilai tinggi dan pembangunan modal insan.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'
PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?
PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin