JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) berhasrat menjadikan Johor sebagai 'Shenzhen Asia Tenggara' menerusi pelan pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh dan seimbang.
Pengarah Jentera Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan baharu yang ingin dibawa PH tidak lagi tertumpu di Johor Bahru atau beberapa kawasan tertentu sahaja, sebaliknya diperluaskan ke seluruh negeri termasuk Johor Utara, Johor Tengah dan Johor Selatan.
"Falsafah pembangunan baharu Johor di bawah Pakatan Harapan adalah Johor yang adil kepada semua. Pembangunan ekonomi mesti sampai ke setiap lokaliti dan daerah, bukan hanya tumbuh di sebahagian tempat.
"Menteri Besar nanti adalah Menteri Besar untuk semua daerah, semua DUN dan semua rakyat Johor," katanya dalam ucapan ketika melancarkan Manifesto PH Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi PH Johor yang juga Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaleha Mustafa.
Menurut Amirudin, masih wujud jurang pembangunan dan pendapatan antara daerah di Johor.
"Pendapatan purata isi rumah di Johor Bahru melebihi RM8,000 sebulan, namun di kawasan seperti Mersing yang terkenal dengan sektor pelancongan dan perikanan, pendapatan purata hanya sekitar RM4,000.
"Begitu juga di Benut yang hanya terletak kira-kira sejam dari Johor Bahru, pendapatan purata rakyat masih sekitar RM4,000 hingga RM5,000.
"Perbezaan ini menunjukkan pembangunan belum berlaku secara adil dan seimbang. Sebab itu kita mahu membawa falsafah pembangunan baharu yang memastikan setiap daerah mendapat peluang yang sama untuk berkembang," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'
PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?
PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin
Naib Pengerusi PKR itu berkata, sekiranya PH membentuk kerajaan negeri, pelan pembangunan Johor yang komprehensif, adil dan mampan akan dilaksanakan.
Mengulas sasaran menjadikan Johor sebagai 'Shenzhen Asia Tenggara', beliau berkata, idea itu bukan sekadar retorik politik, sebaliknya berasaskan contoh kejayaan bandar Shenzhen di China yang berkembang pesat hasil perancangan ekonomi yang jelas.
"Suatu ketika dahulu Hong Kong menjadi pusat ekonomi utama di rantau berkenaan, namun kerajaan China mengambil langkah membangunkan Shenzhen sehingga bandar itu muncul sebagai hab teknologi, inovasi dan ekonomi bertaraf dunia yang bukan sahaja mengimbangi, malah dalam beberapa aspek berjaya menyaingi Hong Kong.
"Johor juga mempunyai potensi yang sama. Dengan perancangan yang betul, kita mampu membina sebuah ekonomi moden yang menjadi lambang kejayaan Malaysia. Apabila orang datang dari Singapura dan menyeberangi Tambak Johor, mereka akan melihat Johor sebagai negeri yang hebat dan menjadi wajah kemajuan negara," katanya.
Beliau menjelaskan, agenda pembangunan PH tidak akan terhad kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan kepada kebajikan rakyat berteraskan nilai rahmah dan kasih sayang.
Katanya, tumpuan akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU), mereka yang berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan serta golongan muda supaya setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan yang dirancang.
"Matlamat kita ialah membina Johor yang maju, adil dan inklusif, di mana kemajuan ekonomi berjalan seiring dengan kebajikan rakyat serta peluang yang saksama untuk semua," katanya.