SHAH ALAM – Sebanyak 17 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih belum dapat diramalkan pemenangnya.
Dapatan itu diperoleh menerusi kaji selidik Unjuran PRN Johor oleh Vodus Research membabitkan 1,303 pengundi berdaftar di negeri tersebut antara 15 hingga 29 Jun lalu.
**media[3569167]**
Menurut badan pengkaji itu dalam kenyataan pada Rabu, sebanyak 14 kerusi DUN menyaksikan persaingan sengit antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, kajian itu memaklumkan BN dilihat mempunyai kelebihan apabila mendahului di 20 kawasan DUN, merangkumi 17 kerusi yang dianggap selamat dan tiga kerusi marginal.
"PH dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing mendahului di satu dan tiga kerusi marginal.
"BN kini berada di hadapan menjelang PRN Johor, namun persaingan masih terbuka dengan 31 kerusi DUN dianggap mampu berubah berdasarkan sokongan pengundi yang belum membuat keputusan muktamad.
"Parti tersebut diunjurkan memperoleh 36 peratus undi, mengatasi PH (26 peratus) dan PN (15 peratus)," menurut kenyataan itu.
Tinjauan juga mendapati Datuk Onn Hafiz Ghazi mencatatkan kadar sokongan tertinggi dalam kalangan responden iaitu 58 peratus.
**media[3569168]**
Dari segi tahap penerimaan parti, BN mendahului dengan kadar sokongan sebanyak 53 peratus, diikuti PH (46 peratus) dan PN (44 peratus).
"Tahap kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri Johor yang diterajui BN juga hampir seiring dengan tahap kepercayaan terhadap BN sendiri, masing-masing pada kadar 67 peratus dan 68 peratus.
"Kedua-duanya merekodkan kadar ketidakpercayaan yang sama iaitu 18 peratus," jelasnya.
Dapatan kajian itu juga memaklumkan bahawa hasrat rakyat Johor untuk keluar mengundi adalah tinggi apabila 87 peratus responden menyatakan mereka berkemungkinan atau sangat berkemungkinan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Bagaimanapun hanya 69 peratus responden benar-benar yakin dengan pilihan undi mereka buat masa ini, sekali gus menunjukkan hampir satu pertiga pengundi (31 peratus) berpotensi mengubah keputusan sebelum hari pengundian.
"Dalam kalangan penyokong yang menyatakan sokongan kepada gabungan utama, PN mencatatkan tahap keyakinan pengundi paling tinggi terhadap pilihan mereka iaitu 78 peratus, diikuti BN (74 peratus) dan PH (72 peratus)," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, tinjauan mendapati hanya 37 peratus responden menyatakan benar-benar yakin dengan pilihan masing-masing, manakala selebihnya masih terbuka untuk mengubah pendirian.
Jelasnya, seramai 85 peratus pengundi masih belum membuat keputusan tentang parti pilihan mereka.
**media[3569171]**
Pengasas Vodus Research, Kelvin Goh berkata, peratusan keseluruhan undi hanya menyumbang sebahagian daripada gambaran sebenar walaupun BN ketika ini dilihat mempunyai kelebihan.
Menurut beliau, di kawasan persaingan sengit, perubahan sokongan kecil dalam kalangan pengundi atas pagar dan pengundi yang enggan mendedahkan pilihan mereka masih mampu mengubah keputusan kerusi pada saat-saat akhir.
Mengulas mengenai kos sara hidup, tinjauan menyimpulkan bahawa ia menjadi kebimbangan utama pengundi apabila lebih separuh responden (53 peratus) meletakkannya sebagai antara tiga isu paling penting.
**media[3569170]**
"Daripada jumlah tersebut, 31 peratus menyifatkan kos sara hidup sebagai isu tunggal paling utama. Dapatan ini juga konsisten merentasi penyokong semua gabungan politik utama.
"Keseluruhannya, hasil tinjauan menunjukkan BN memasuki fasa akhir kempen pilihan raya dengan kedudukan yang paling kukuh.
"Namun, dengan masih banyak kerusi yang menyaksikan persaingan sengit dan belum dapat diramalkan pemenangnya, saingan menuju hari pengundian masih terbuka dan jauh daripada penamat," jelas badan pengkaji politik berkenaan.