SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mempersoalkan tindakan Pas yang juga parti komponen Perikatan Nasional (PN) menjalankan rundingan secara sulit dengan UMNO.
Menurut beliau, sebarang perbincangan termasuk hubungan kerjasama kedua-dua parti itu sepatutnya dilakukan secara telus tanpa perlu bersembunyi.
"Terima kasih Tan Sri Annuar Musa kerana membuat pendedahan demi pendedahan. Yang terbaharu pengakuan mengenai rundingan Pas-UMNO. Saya salute (tabik) Tan Sri.
"Cuma saya hairan, kenapa rundingan dibuat secara sulit? Nak selindung daripada siapa? Nak sorok apa?
"Jika niatnya baik demi perpaduan ummah jangan selindung, jangan sorok. Buatlah secara telus. Berterus terang saja. Biar ada integriti. Biar ada kebertanggungjawaban," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau mengulas mengenai pendedahan Annuar yang juga Ketua Penerangan PN mengesahkan wujudnya rundingan rasmi antara Pas dan UMNO bagi membincangkan kemungkinan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Marzuki berkata, sekiranya perbincangan tersebut turut melibatkan dasar dan hala tuju gabungan itu, ia perlu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengikut Fasal 8.4 (I) Perlembagaan PN.
"Jika semua parti anggota sepakat untuk bekerjasama dengan UMNO/Barisan Nasional rundinglah secara telus. Apa salahnya?
"Ini tidak, rancang secara sulit, bincang secara sulit, membahagi 'ghanimah' secara sulit. Ini tindakan yang bercanggah dengan semangat dan peruntukan nyata dalam Perlembagaan PN.
"Inilah puncanya PN rosak," katanya.