SHAH ALAM – Suasana politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan dilihat lebih dipacu oleh isu-isu teknikal, sentimen politik tempatan serta polemik tertentu berbanding gelombang isu nasional yang besar.
Ketua Penyelidik O2 Research Center, Anis Anwar Suhaimi berkata, antara isu yang menjadi perhatian ialah persoalan institusi adat, kewajaran pelaksanaan pilihan raya pada waktu tertentu serta hubungan antara parti-parti dalam kerajaan dan pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, kehangatan politik tersebut tidak dirasai secara sama rata oleh semua kelompok pengundi, khususnya pengundi muda dan pengundi atas pagar.
“Isu-isu seperti ini biasanya lebih memberi kesan kepada mereka yang memang mengikuti politik domestik secara dekat atau sudah terlibat secara mendalam dalam wacana politik semasa.
“Bagi pengundi biasa, khususnya pengundi muda dan pengundi atas pagar, tahap keterlibatan mereka terhadap isu ini mungkin berada pada darjah yang berbeza.
"Sebab itu, kita tidak boleh melihat pengundi muda dan pengundi atas pagar sebagai satu kelompok seragam. Pengundi muda, khususnya baru pertama kali mengundi mempunyai pertimbangan berbeza daripada pengundi atas pagar yang mungkin sudah beberapa kali mengundi tetapi belum mempunyai kesetiaan parti yang tetap," katanya kepada Sinar Ahad.
Mengenai faktor yang dijangka boleh mempengaruhi pengundi muda, Anis Anwar berkata, golongan berusia antara 18 hingga 21 tahun masih banyak dipengaruhi oleh institusi keluarga meskipun mereka terdedah kepada pelbagai sumber maklumat melalui media sosial dan platform digital.
Katanya, dalam banyak keadaan kecenderungan politik mereka masih dibentuk oleh pandangan serta pegangan keluarga.
“Namun, mereka yang pernah melalui kehidupan berasrama atau tinggal jauh daripada keluarga biasanya mempunyai kebebasan politik yang lebih besar.
“Dalam kelompok ini, pengaruh rakan sebaya, persekitaran pendidikan dan ekosistem sosial menjadi lebih penting dalam membentuk kecenderungan politik mereka,” katanya.
Bagi pengundi atas pagar pula, beliau berkata, kecenderungan kelompok berkenaan banyak dipengaruhi oleh pengalaman mengundi sebelum ini serta penilaian terhadap prestasi parti dan kepimpinan semasa.
“Dalam kelompok ini, faktor parti masih penting, tetapi ia akan dinilai bersama faktor calon, prestasi kerajaan, kredibiliti kepimpinan dan sejauh mana parti tersebut dilihat masih membawa harapan politik yang meyakinkan,” katanya.