Bersama jadi king maker atau pemecah undi - Penganalisis politik

SHAH ALAM - Parti Bersama Malaysia (Bersama) berpotensi menjadi kuasa ketiga atau king maker pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan kali ini memandangkan sebahagian besar penyokong parti berkenaan terdiri daripada pelbagai segmen.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, parti yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad itu juga menjadi platform alternatif kerana dilihat membawa perasaan dan aspirasi rakyat yang pragmatik.

Menurutnya, Bersama juga dijangka tidak bertanding di semua kerusi, sebaliknya memilih kerusi yang berpotensi menang atau sekurang-kurangnya mampu memecahkan undi.

"Parti parti politik dan pemimpin tidak boleh pandang rendah kepada kehadiran Bersama walaupun parti itu mungkin tidak berhasrat untuk bertanding di semua kerusi di Johor dan Negeri Sembilan tetapi Bersama akan masuk bertanding di kerusi yang berpotensi menang atau pecahkan undi di kawasan yang sebelum ini dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) khususnya kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP.

"Sebahagian besar penyokong dan pengundi Bersama adalah dari segmen penyokong termasuk kerajaan dan mereka yang kecewa dengan parti pembangkang. Kekuatan Bersama juga dari segi rekod data dan statistik yang jelas kerana Rafizi serta pasukannya telah lama dalam arena penyelidikan lapangan seperti Invoke.

"Justeru mereka mempunyai sasaran kerusi yang tepat berdasarkan corak perubahan sokongan, orientasi penyokong dan isu yang boleh dijadikan senjata politik dalam pilihan raya," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya sama ada Bersama sekadar ditubuhkan untuk memecahkan undi, beliau berpandangan parti itu mempunyai dua matlamat utama iaitu memenangi kerusi yang ditandingi dan pada masa sama menghalang kemenangan parti lawan di kawasan tertentu.

“Saya lihat memang ada elemen memecahkan undi, khususnya di kawasan yang mempunyai pertindihan sokongan dengan parti-parti pembangkang lain.

“Namun, saya tidak fikir sasaran utama mereka adalah membentuk kerajaan. Sebaliknya, mereka mahu berada dalam kedudukan strategik sebagai kingmaker kerana politik Malaysia hari ini tidak lagi bergantung kepada dominasi satu parti semata-mata,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan pengaruh politik Rafizi masih belum pudar walaupun tidak lagi bersama PKR.

Katanya, bekas Menteri Ekonomi itu masih mempunyai kelompok penyokong tersendiri terutama dalam kalangan pengundi muda, Melayu bandar dan separa bandar serta sebahagian pengundi bukan Melayu yang kecewa dengan perkembangan politik semasa.

“Walaupun siri jelajah beliau tidak memperlihatkan kehadiran yang terlalu besar, idea dan mesej yang dibawa tetap tersebar luas melalui media sosial serta rangkaian penyokong di peringkat akar umbi.

“Ini menunjukkan jenama politik Rafizi masih mempunyai daya tarikan tersendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Tawfik mengakui cabaran terbesar Bersama ketika ini ialah membina jentera pilihan raya yang mantap dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, setakat ini masih belum kelihatan struktur organisasi yang benar-benar kukuh sehingga ke peringkat akar umbi bagi menghadapi beberapa siri pilihan raya yang bakal berlangsung.

“Secara realistik, sukar untuk sebuah parti baharu membina jentera pilihan raya yang lengkap dalam masa yang singkat.

“Namun saya berpandangan Bersama akan lebih banyak menggunakan pendekatan soft intervention menerusi penguasaan isu, naratif politik dan pengaruh media sosial bagi mempengaruhi pemikiran pengundi, berbanding bergantung sepenuhnya kepada jentera fizikal,” katanya.

Bersama yang diambil alih Rafizi dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi pada Mei lalu dilaporkan mempunyai kira-kira 25,000 ahli berdaftar sejak pelancaran semula parti itu tiga minggu lalu.