SHAH ALAM - Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan pembentukan kerjasama politik baharu yang dikenali sebagai 'Blok Progresif' bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi PSM, Dr D Jeyakumar berkata, kesepakatan yang dijalin itu merangkumi pelarasan dan koordinasi isu, pergerakan jentera kempen secara bersama, serta perancangan strategik dalam pembahagian kerusi.
**media[3552187]**
Menurut beliau, calon kedua-dua parti bagaimanapun akan bertanding menggunakan logo parti masing-masing.
"Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuhkan jentera, malah mengelakkan pertembungan kerusi dalam kalangan parti-parti yang memperjuangkan agenda progresif.
"Pada masa ini, ia belum membentuk satu gabungan rasmi atau menggunakan satu logo bersama untuk pilihan raya itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, PSM dan Muda dalam kenyataan bersama mengumumkan telah bersetuju bergerak secara bersama sepanjang kempen dengan menawarkan dasar-dasar bersifat progresif kepada pengundi di kedua-dua negeri itu.
Menurutnya, lima tunjang utama dasar bersifat ke hadapan akan dibawa dengan berpaksikan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum serta berlandaskan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
"Antara isu utama yang akan kami ketengahkan dalam PRN kali ini mencakupi penyelesaian kos sara hidup iaitu merangka langkah praktikal untuk meringankan beban ekonomi rakyat serta pekerjaan berkualiti dengan merangsang penawaran peluang pekerjaan dengan gaji dan jaminan yang lebih baik.
"Isu kelestarian alam turut menjadi fokus utama selain perumahan mampu milik dengan memastikan akses perumahan yang adil dan mampu dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat.
"Blok Progresif juga akan meneruskan agenda reformasi institusi demi memperkasa tata kelola kerajaan yang telus, bersih, dan berintegriti," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, pihaknya juga sentiasa terbuka untuk berbincang dan melibatkan mana-mana parti mahupun pihak yang berkongsi hasrat dan dasar progresif yang sama demi memajukan Johor dan Negeri Sembilan.