SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dikhabarkan bakal meninggalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat yang disandangnya sejak 2008 untuk bertanding di DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Spekulasi itu hangat diperkatakan apabila timbul dakwaan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkenaan sedang mempertimbangkan untuk bertanding di kawasan baharu.
Malah, desas-desus itu turut menjadi perbualan dalam kalangan orang politik di media sosial yang melihat kemungkinan tersebut mempunyai asas memandangkan Aminuddin kini merupakan Ahli Parlimen Port Dickson serta Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Port Dickson.
Ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan pada Jumaat lalu, Aminuddin mengesahkan beliau akan bertanding pada PRN kali ini, namun enggan mendedahkan kerusi yang bakal ditandinginya.
Beliau juga tidak mengesahkan sama ada akan mempertahankan DUN Sikamat yang disandangnya ketika ini.
"Bertanding di mana belum lagi, itu kemudian kerana calon sedang dinilai dan saya serahkan kepada parti.
"Saya sedang menanti mimpi (keputusan bertanding di DUN mana), tetapi saya akan bertanding. Cuma tempatnya akan saya maklumkan kemudian," katanya berseloroh.
Sementara itu, Naib Ketua Cabang PKR Port Dickson, Dr Rajasekaran dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berhubung spekulasi berkenaan kerana keputusan calon akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.
Menurutnya, apa yang lebih penting ialah memastikan kemenangan parti tanpa mengira siapa calon yang dipilih.
"Saya tidak pasti sama ada Menteri Besar akan bertanding di DUN Linggi atau tidak.
"Namun bagi saya, sesiapa sahaja calon PKR yang dipilih akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan parti dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.
Untuk rekod, Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Pada PRU12, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 499 undi apabila memperoleh 6,036 undi dan pada PRU13, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 510 undi selepas memperoleh 8,584 undi.
Prestasi beliau terus meningkat pada PRU14 apabila mencatat kemenangan lebih selesa dengan majoriti 3,413 undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas selepas memperoleh 9,832 undi.
Pada PRN 2023 pula, Aminuddin berjaya mempertahankan DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.
Sementara itu, DUN Linggi pada PRN 2023 dimenangi Datuk Mohd Faizal Ramli daripada BN dengan majoriti 1,461 undi selepas memperoleh 7,832 undi berbanding pencabarnya daripada PN-Bersatu, Zamri Md Said yang meraih 6,371 undi.
Setakat ini, sama ada Aminuddin akan terus mempertahankan kubunya di Sikamat atau memilih untuk bertanding di Linggi kekal menjadi tanda tanya.