Pas mahu buktikan 'abang besar' dalam PN

SHAH ALAM – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sedang mengkaji hubungan dengan Bersatu seolah-olah menyampaikan mesej bahawa mereka merupakan 'abang besar' dalam Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kenyataan itu mencerminkan kedudukan Pas yang semakin dominan apabila kini mengemudi gabungan parti tersebut selepas jawatan Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang disandang oleh Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

**media[3530112]**

"Pas seolah-olah 'abang besar' dalam gabungan parti berkenaan memandangkan pemimpin mereka menjawat jawatan Pengerusi PN dan jawatan penting lain dalam penting dalam PN.

"Pas semakin lantang bersuara kerana mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang paling banyak berbanding parti-parti lain dalam Dewan Rakyat dan juga sedang menerajui PN," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Justeru, Mohammad Tawfik tidak menolak kerjasama antara kedua-dua parti itu akan berakhir dalam tempoh terdekat dan Bersatu akan disingkirkan daripada PN.

Malah, beliau tidak terkejut sekiranya perkembangan tersebut akan berakhir dengan perpecahan PN.

"Pas sudah terlibat dengan pelbagai gabungan politik sepanjang sejarah penglibatan parti itu dalam politik negara, namun parti itu sukar bertahan lama dalam kerjasama politik.

"Contohnya, Pas pernah dalam Barisan Nasional (BN) tahun 1973, pernah dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Muafakat Nasional.

"Sekarang pergolakan pula sedang berlaku dalam PN," ujar beliau.