PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal.
Kenyataan itu dikemukakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sekiranya rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.
Menteri Kewangan itu berkata, pendirian berkenaan diambil susulan keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo di semua kerusi di Johor.
Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersiap siaga susulan spekulasi yang semakin memuncak mengenai kemungkinan pembubaran awal beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pelaksanaan PRU16 secara mengejut.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, suruhanjaya itu mengekalkan tahap kesiapsiagaan operasi sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran segera DUN di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, selain mempergiat persiapan di seluruh negara menjelang PRU16.
Lebih mengejutkan, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad membuat keputusan besar untuk mengumumkan pengambilalihan parti baharu, meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa serta bertindak keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), lebih awal daripada jangkaan.
**media[3528943]**
Dari sudut ekonomi pula, Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein memberi amaran bekalan minyak tempatan mungkin tidak kembali normal sehingga hujung tahun ini atau malah 2027 walaupun perang berakhir dalam masa terdekat.
Ini kerana rantaian bekalan dan operasi telaga minyak memerlukan masa berbulan-bulan untuk pulih dan situasi menggusarkan ini pastinya mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang kedua dan ketiga krisis tenaga global sehingga tahun hadapan.
Dengan cabaran ekonomi semakin menggunung serta kegusaran kestabilan politik negara semakin terhakis, tumpuan utama rakyat kini tertumpu sama ada Anwar sanggup mengambil risiko mengadakan PRU16 lebih awal berserentak pilihan raya negeri atau sebaliknya.
Bagi Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim, fenomena gelombang kedua krisis tenaga global memang tidak dapat dielakkan dan bakal memberi kesan yang lebih besar.
Jelasnya, ini kerana ia bukan lagi sekadar isu kenaikan harga minyak, tetapi turut melibatkan gangguan rantaian bekalan, kos logistik dan tekanan inflasi global.
"Dari sudut ekonomi, Malaysia masih mempunyai kekuatan asas yang kuat seperti sokongan sektor petroleum dan sistem kewangan yang stabil.
"Namun jika krisis berpanjangan, kos sara hidup dijangka terus meningkat dan kerajaan akan berdepan tekanan fiskal lebih besar untuk mengekalkan subsidi serta bantuan kepada rakyat.
"Apabila kos sara hidup meningkat, isu ini adalah isu yang memberi kesan emosi besar rakyat kerana ia melibatkan tekanan hidup harian. Isu kos sara hidup berupaya meningkatkan sentimen tidak puas hati kepada kerajaan memerintah," katanya kepada Sinar Harian.
Dari sudut politik pula, gelombang kedua krisis tenaga global ini dijangka bakal menguji keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mengurus ekonomi.
Menurut Amir Fareed, dalam keadaan sebegini, komunikasi kerajaan menjadi sangat penting kerana rakyat mahu melihat kepimpinan kerajaan yang tenang, jelas dan meyakinkan dalam berhadapan krisis.
"Kita tidak tahu berapa lama krisis tenaga global ini akan berlarutan. Impak keseluruhannya mungkin dirasakan sehingga timbul gelombang ketiga. Jadi lebih lama krisis ini berlarutan, lebih tinggi risiko politik terhadap kestabilan Kerajaan.
"Jika pilihan raya lebih awal, jadi mungkin impak keseluruhan krisis masih belum dirasai. Jika krisis tenaga global dapat selesai lebih awal, maka kerajaan dapat memberi tumpuan kepada fasa pemulihan," ujarnya.
**media[3528941]**
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisommudin Bakar berpandangan, risiko-risiko lain yang perlu diambil kira oleh Kerajaan Madani ialah hubungan antara parti-parti Kerajaan Madani selepas pilihan raya negeri seperti Johor, Melaka dan mungkin juga Negeri Sembilan.
Jelasnya, jika ketegangan berlarutan pasca PRN tiga negeri berkenaan, Kerajaan Madani berisiko berdepan isu defisit prestasi dari segi keberkesanan pengurusan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.
"Pada pendapat saya, kita tidak tahu sejauh mana krisis berlarutan, mungkin akan ada gelombang ketiga jika tiada penyelesaian dalam jangka masa terdekat.
"Kalau dari segi ekonomi mungkin lebih baik PRU16 diadakan awal tahun depan. Pastikan dahulu krisis tekanan global ini dikendalikan dengan bijaksana dan tidak perlu terburu-buru.
"Bagaimanapun, soal penentuan tarikh PRU16 bukan sekadar berkisar suhu ekonomi, bahkan suhu politik tempatan juga," jelasnya.
Pada masa sama, inti pati Belanjawan 2027 mungkin boleh dijadikan sebagai indikator dan wadah Kerajaan untuk 'roll-out plan' membantu golongan dan sektor terkesan dengan lebih menyeluruh menjelang pelaksanaan PRU.
"Tumpuan boleh diberikan kepada aspek pemuliharaan ekonomi. Isu reformis seperti inisiatif memperkemas mekanisme subsidi bahan api mungkin boleh diperhitungkan juga demi mengukuhkan lagi kedudukan fiskal negara," tegas beliau.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengakui kemungkinan PRU diadakan lebih awal sudah dijangkakan ramai, berdasarkan prestasi kerajaan dalam menguruskan isu semasa termasuk krisis ekonomi, kos sara hidup dan kewangan negara.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, partinya sudah menerima arahan daripada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya akan datang termasuk di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
"Berkenaan PRU, saya fikir tiada masalah dari segi persiapan untuk menempuhi PRU lebih awal," katanya dalam satu kenyataan media.