Lebih ramai tokoh politik dijangka kembali kepada UMNO

SHAH ALAM – Inisiatif UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat dilihat berpotensi menarik semula tokoh politik yang pernah meletakkan jawatan, dipecat atau meninggalkan parti itu termasuk mereka yang kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi turut berdepan pemecatan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, langkah tersebut boleh dianggap sebagai gencatan senjata politik yang membuka ruang kepada bekas pemimpin kembali aktif dalam parti.

Menurutnya, ramai pemimpin menyedari sukar untuk bergerak dalam politik Melayu tanpa platform kukuh seperti UMNO, apatah lagi parti itu kini berada dalam kerajaan.

“Saya setuju gencatan senjata politik ini akan menarik ramai pemimpin yang meletak jawatan, dipecat atau keluar parti sebelum ini kerana mereka sedar sukar hidup dengan parti politik lain selain UMNO yang berada dalam kerajaan.

“Malah kita lihat ada bekas pemimpin seperti Khairy Jamaluddin sendiri yang tidak menyertai mana-mana parti lain, sekali gus menunjukkan sukar untuk mencari platform seperti UMNO untuk berkembang dalam politik Melayu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah UMNO membuka ruang penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli parti berkenaan.

Mohammad Tawfik berkata, langkah tersebut juga bertujuan mengukuhkan semula kedudukan UMNO serta mengurangkan persaingan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, UMNO sejak dahulu dilihat sebagai Guardian of Nation (penjaga nusa bangsa) dan pernah menjadi wadah penyatuan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti serta individu Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan.

“UMNO mahu menguatkan kembali parti, mengurangkan musuh dan memastikan parti berhadapan persaingan minimum pada PRU16 akan datang.

“Bagi saya tidak perlu curiga kerana ini satu hasrat baik. Jangan kita anggap semua strategi politik itu sebagai jerangkap samar kerana ada kalanya strategi politik memberi manfaat kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas kemungkinan langkah itu dilihat sebagai strategi menghadapi pilihan raya negeri akan datang, beliau berkata, keputusan membuka pintu penyatuan tanpa syarat bermaksud individu yang kembali menyertai UMNO boleh terus aktif dalam parti.

“Kita sedar PRU dan PRN Johor serta Melaka sudah hampir, tetapi janganlah anggap hasrat UMNO ini sebagai senjata untuk membunuh musuh politik.

“UMNO telah mengumumkan tanpa syarat iaitu apabila ada yang kembali ke UMNO, mereka boleh bertanding, memegang jawatan dan terus aktif semula seperti biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berpandangan langkah tersebut tidak akan menjejaskan hubungan UMNO dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, setakat ini tiada bantahan secara vokal daripada parti komponen kerajaan dan UMNO sendiri telah memaklumkan kepada Kabinet mengenai penubuhan Rumah Bangsa.

“Saya lihat tiada masalah pun melibatkan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan kerana mereka tidak menentang secara terbuka,” ujarnya.

Jelasnya, langkah itu juga penting bagi menyatukan semula orang Melayu yang kini berpecah kepada pelbagai parti politik.

“Perpecahan tidak menguntungkan orang Melayu tetapi hanya kepentingan pemimpin yang kecewa sahaja,” tambahnya.