Bukti parti boleh bersatu demi kepentingan Islam

SHAH ALAM - Pertemuan lapan parti di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Khamis bukti kesedaran kolektif Melayu, Islam dan Bumiputera masih hidup dan bernafas.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, ia menunjukkan bahawa apabila berkaitan kepentingan Islam dan Bumiputera, persaingan partisan boleh diketepikan, sekurang-kurangnya pada peringkat dialog.

Menurutnya, dari perspektif masyarakat Melayu pula, peristiwa ini disambut baik kerana ia memperlihatkan bahawa suara mereka masih relevan dan diambil kira dalam arena politik nasional.

"Hakikatnya, walaupun landskap politik Malaysia berubah drastik selepas Pilihan Raya Umum ke-15, di mana undi Melayu berpecah kepada pelbagai blok dan tiada satu pun parti Melayu-Islam berjaya menguasai majoriti mutlak, semangat untuk menyatukan agenda Islam dan Bumiputera tidak pernah padam.

"Pertemuan ini membuktikan bahawa perpecahan di kotak undi tidak semestinya bermakna perpecahan dalam isu-isu asas yang menyentuh nasib umat.

"Namun, musyawarah ini perlu dinilai bukan dari sudut simboliknya sahaja. Ujian sebenar terletak pada tindakan susulan. Adakah resolusi yang dihasilkan akan diterjemahkan kepada dasar konkrit atau ia sekadar retorik persatuan yang bersifat sementara," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Afifi berkata, jika pertemuan ini mampu menjana mekanisme kerjasama yang berterusan merentasi blok politik, maka ia layak digelar sebagai titik tolak baharu dalam politik Malaysia.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, pertemuan itu lebih bersifat dialog politik serta penjajaran kerjasama, bukannya pembentukan pakatan formal.

"Politik Malaysia masih terikat dengan struktur gabungan sedia ada seperti Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional.

"Sekarang pertemuan ini perlu dilihat lebih kepada usaha menyatukan naratif atau koordinasi isu tertentu dalam kalangan parti Melayu, tetapi untuk menjadi pakatan baharu ia memerlukan kesepakatan ideologi, pembahagian kuasa dan strategi pilihan raya yang jelas," jelasnya.