Hamzah dikait ambil alih Berjasa

SHAH ALAM – Bekas Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjangkakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berpotensi mengambil alih Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) sebagai wadah politik baharu susulan pemecatannya daripada Bersatu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Datuk Dr Chong Fatt Full berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan situasi politik semasa yang tidak memberi banyak ruang kepada Hamzah untuk menubuhkan parti baharu, terutama ketika negara menghampiri siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Dengan memiliki kekuatan sokongan dua pertiga ketua bahagian Bersatu, dua pertiga sokongan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu serta sekurang-kurangnya 19 Ahli Parlimen, saya yakin sukar untuk Hamzah menyertai parti lain termasuk Pas.

“Jadi, langkah terbaik ketika ini adalah beliau bergerak dengan wadah politik baharu dan penyelesaian paling pragmatik ialah menubuhkan parti politik baharu.

“Bagaimanapun, mengambil kira siri PRN dan PRU semakin dekat, ditambah kebimbangan berlaku kerenah birokrasi agensi kerajaan, saya jangka Hamzah lebih memilih untuk mengambil alih parti politik sedia ada sebagai wadah baharu,” katanya kepada Sinar Ahad.

Kemelut dalaman Bersatu memuncak apabila Lembaga Disiplin parti itu memecat Hamzah bersama tiga Ahli Parlimen yang menyokongnya serta lebih 17 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), ketua bahagian dan pimpinan sayap parti.

Susulan perkembangan itu, beberapa tokoh parti termasuk Tan Sri Dr Rais Yatim dan Fatt Full sendiri mengumumkan keluar daripada Bersatu, manakala bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Noh Omar meletakkan jawatan sebagai ahli MPT.

Mengulas lanjut, Fatt Full berpandangan langkah Hamzah mencari platform politik baharu turut berpotensi mempengaruhi kedudukan Pas dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Pas dilihat lebih cenderung bekerjasama dengan Hamzah dalam konfigurasi politik baharu yang mungkin turut melibatkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), berbanding kekal bersama kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dengan kekuatan Pas memiliki 43 kerusi Parlimen diikuti Hamzah mendapat sokongan 19 Ahli Parlimen daripada Bersatu termasuk tiga yang telah dipecat, saya fikir tiada masalah untuk Pas membantu Hamzah mengekalkan jawatan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.

“Pas juga mungkin terpaksa meninggalkan wadah PN memandangkan sukar untuk parti itu terus menjalinkan kerjasama dengan Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan Ketua Penerangan Berjasa, Mohd Hamdan Mohd Sharif yang menegaskan tiada sebarang pertemuan atau rundingan rasmi antara kepimpinan parti itu dengan Hamzah.

“Mengenai dakwaan Hamzah bakal mengambil alih Berjasa, itu sama sekali tidak akan berlaku. Berjasa masih kekal utuh dengan ahli majlis kepimpinan tertinggi yang dipilih,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ dari dalam dan luar parti yang cuba melemahkan blok pembangkang susulan pemecatannya daripada Bersatu.

Menurutnya, ketegangan mula kelihatan ketika perbincangan jawatan utama gabungan apabila cadangan melantik Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung PN tidak dipersetujui oleh Pas.

“Realitinya, ramai melihat Hamzah sebagai figura utama yang boleh menjadi pesaing kuat. Sebab itu timbul pelbagai naratif untuk melemahkan kedudukannya,” dakwanya.

Namun, beliau menegaskan semua Ahli Parlimen yang menyokong Hamzah ketika ini komited untuk kekal bersama PN.

“Kami akan kekal bersama PN buat masa ini. Fokus kami ialah memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas walau apa pun pergolakan politik,” katanya.