'Hamzah mungkin tubuh parti baharu' - Chong Fatt Full

SPEKULASI kemungkinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipecat oleh Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sekadar isu dalaman parti.

Lembaga Disiplin Bersatu buat kali kedua telah memanggil Hamzah yang kini berada di luar negara, untuk menghadiri sesi pendengaran dijadualkan Khamis lalu berdasarkan empat aduan berasingan - tiga bertarikh 5 Februari dan satu lagi bertarikh 30 September tahun lepas.

Ia berpotensi mencetuskan gelombang besar terhadap landskap politik pembangkang terutama masa depan Perikatan Nasional (PN) serta keseimbangan semak dan imbang di Parlimen.

Ketika ketegangan antara Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya semakin menjadi perhatian, wacana awam kini tertumpu kepada persoalan lebih besar.

Apa unjuran respons balas diambil Hamzah sekiranya proses pemecatan terhadap beliau benar-benar berlaku? Apa implikasi utamanya terhadap Bersatu, PN dan mungkin landskap baharu politik negara?

Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Dr Chong Fatt Full tanpa berselindung mengakui terdapat naratif tersebar dalam kalangan akar umbi kononnya Hamzah perlu dipecat kerana mahu membawa Bersatu kembali kepada UMNO, termasuk cerita mengenai pertemuan di Bangkok dengan kepimpinan UMNO.

Jelasnya, satu lagi naratif diuar-uarkan adalah kononnya Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merancang untuk mengajak Muhyiddin membawa parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan.

**media[3433333]**

Justeru, Fatt Full menegaskan penyebaran dua naratif berbeza ini bukan satu perkara baharu dan telah lama dimainkan oleh kem penyokong Muhyiddin dan Hamzah.

"Saya secara peribadi tidak setuju membuat andaian melulu. Andaian boleh menyebabkan perkara yang tidak berlaku menjadi seolah-olah benar.

"Kadangkala seseorang yang tidak berniat keluar parti dipaksa oleh keadaan sehingga akhirnya keluar atau dipecat. Dakwaan dan label-label seperti ini hanya memburukkan keadaan," katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan itu, Fatt Full mengakui kebimbangan proses pemecatan radikal itu dijangka mengundang perpecahan besar yang pasti melemahkan parti itu sendiri.

Jelasnya, implikasi pemecatan Hamzah hakikatnya memberi natijah jauh lebih besar berbanding pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Saiful dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah serta penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal sebelum ini.

"Pada masa sama, saya percaya sama ada Muhyiddin mahupun Hamzah sudah mempunyai pelan strategik masing-masing dalam mendepani krisis pertembungan sesama mereka," ujarnya.

Dalam politik, pemecatan tokoh kanan jarang menjadi noktah. Ia lazimnya menjadi titik mula kepada penyusunan semula kuasa.

Lantaran itu, Fatt Full berpandangan sekiranya Hamzah disingkirkan, sekurang-kurangnya empat langkah balas realistik boleh berlaku.

**media[3433326]**

Jelas beliau, kemungkinan pertama adalah langkah pengukuhan kem dalaman di mana Hamzah boleh memilih untuk mengkonsolidasikan penyokong dalam parti bagi mencabar keputusan secara institusi.

"Langkah ini berisiko memanjangkan konflik, namun berpotensi mengekalkan pengaruhnya dalam struktur Bersatu.

"Kedua, pembentukan paksi politik baharu. Dengan jaringan dan pengalaman luas, Hamzah berupaya membina blok sokongan merentas parti atau dalam PN sendiri. Senario ini boleh mengubah imbangan kuasa dalaman gabungan," ujarnya.

Selain itu, Fatt Full berpendapat, Hamzah mungkin boleh merealisasikan gerakan balas ketiga iaitu penubuhan wadah politik alternatif.

Walaupun langkah ini drastik, beliau percaya sejarah politik Malaysia menunjukkan parti baharu sering lahir daripada konflik dalaman, dengan kekuatan personaliti dan rangkaian penyokong menjadi faktor penentu kelangsungan.

"Keempat, strategi rundingan semula. Pemecatan juga boleh menjadi pemangkin kompromi sama ada melalui mediasi dalaman atau tekanan politik yang akhirnya membawa kepada penyelesaian lebih pragmatik," ujarnya.

**media[3433334]**

Sementara itu, pensyarah kanan komunikasi liberal UiTM, Dr A Aziz Azizam melihat krisis ini sebagai konflik 'pendarahan dalaman' yang tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, kelemahan pembangkang akibat konflik dalaman akan menjejaskan fungsi semak dan imbang demokrasi.

"Dalam konteks ini, pemecatan Hamzah bukan sekadar isu personaliti, tetapi menyentuh kestabilan institusi politik secara keseluruhannya termasuk blok pembangkang.

"Berbanding episod penyingkiran tokoh lain sebelum ini, kedudukan Hamzah sebagai pemain strategik menjadikan kesannya lebih mendalam. Moral parti, keyakinan penyokong dan persepsi awam boleh terjejas sekiranya konflik dilihat gagal diurus secara matang.

"Realitinya, pemecatan seorang tokoh kanan membuka ruang perebutan peluang dan kedudukan. Kekosongan kerusi dan posisi strategik bukan sekadar simbolik, tetapi bernilai tinggi dalam percaturan politik. Di sinilah risiko fragmentasi menjadi paling ketara," kata beliau.