'PN perlu tonjol kepimpinan stabil' - Mohamad Hafis

SHAH ALAM - Strategi untuk memperkukuh kembali Perikatan Nasional (PN) menuntut perubahan naratif politik yang tidak lagi bersifat defensif, sebaliknya menonjolkan kepimpinan yang stabil dan berintegriti.

Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, PN bakal berdepan risiko kalah besar dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya kemelut dalaman itu berlarutan tanpa penyelesaian konkrit.

"Naratif pemulihan PN perlu kembali kepada matlamat asal penubuhan gabungan antaranya menekankan solidariti blok pembangkang dengan mengalihkan fokus daripada konflik dalaman kepada peranan sebagai pemantau kerajaan atau semak dan imbang.

"Selain itu PN juga perlu menampilkan diri sebagai wadah penyatuan ummah dengan mengukuhkan persepsi bahawa PN adalah pelindung kepentingan Melayu-Islam yang harmoni, bukannya gabungan yang rapuh dan longgar akibat perebutan kuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman menggesa semua pihak termasuk rakan komponen PN supaya melakukan ‘gencatan senjata’ dan menghentikan serangan terbuka antara satu sama lain.

Syahir juga menyeru agar menghentikan penulisan perkara bersifat ‘sulit’ secara terbuka selain menyifatkan parti berkenaan hanya mahu meneruskan perjalanan.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafis berkata, disiplin adalah komunikasi dalam kalangan pimpinan PN termasuk menginstitusikan mekanisme rundingan tertutup selaras konsep ‘silence is golden’ yang disarankan Syahir bagi mengelakkan maklumat sulit menjadi peluru dan senjata ampuh buat pihak lawan.

Beliau berkata, pemimpin PN juga perlu memperkasakan peranan Majlis Presiden sebagai platform rasmi membuat keputusan bagi mengelakkan kenyataan sebelah pihak yang sering mencetuskan kekeliruan dan salah faham.

"Pemimpin di peringkat nasional juga perlu turun ke bawah bagi meredakan ketegangan antara penyokong Pas dan Bersatu yang dilihat semakin memanas di platform digital.

"Dalam masa sama, pengagihan kuasa yang adil perlu diberi perhatian dengan Pas sebagai parti dengan kerusi terbanyak (43 kerusi Parlimen) memainkan peranan inklusif, manakala Bersatu perlu menyusun semula struktur kepimpinan mereka bagi membuktikan mereka masih relevan dalam gabungan," katanya.

Mohamad Hafis berkata, rakyat khususnya pengundi muda yang sebelum ini menjadi nadi sokongan PN berisiko beralih arah sekiranya gabungan itu dilihat tidak stabil dan asyik bertelagah sesama sendiri.

"Selain itu, kegagalan menguruskan isu jawatan Pengerusi PN dan konflik di peringkat negeri seperti isu di Perlis boleh membawa kepada perpecahan rasmi yang mungkin memaksa Pas atau Bersatu mencari rakan kerjasama baharu atau bertanding secara solo.

"Keadaan itu juga boleh menyebabkan kehilangan momentum jentera pilihan raya yang telah dilancarkan di beberapa negeri seperti Perak dan Melaka tidak akan mampu berfungsi secara efektif jika ‘roh’ kerjasama antara parti sudah hilang," katanya.

Beliau berkata, PN kini sedang menghadapi krisis dalaman yang serius dan menuntut kepada satu 'gencatan senjata' segera antara dua parti utamanya iaitu Pas dan Bersatu.