Strategi politik pulih imej UMNO

SHAH ALAM - Kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) adalah isyarat jelas parti itu sedang dalam fasa 'penyatuan strategik' demi kelangsungan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, langkah membawa kembali figura berpengaruh itu ke dalam radar parti adalah satu strategi politik bagi memulihkan semula imej UMNO yang kini berdepan cabaran hakisan sokongan pengundi tegar khususnya orang Melayu.

Beliau juga percaya kehadiran bekas Menteri Kesihatan itu memberi signal bahawa UMNO sedang cuba menamatkan era konflik dalaman.

"Dalam mendepani PRU tidak lama lagi, UMNO memerlukan 'pahlawan' ataupun jenama baharu yang mempunyai daya tarikan di luar kelompok tradisi.

"KJ (Khairy Jamaluddin) dilihat sebagai aset penting untuk menarik semula minat pengundi atas pagar dan golongan belia yang sebelum ini menjauhkan diri daripada parti. KJ juga dilihat mampu untuk menyatukan semula pemimpin di dalam UMNO untuk menghadapi PRU16," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Khamis, Khairy yang dipecat daripada parti tiga tahun lepas telah membuat kemunculan buat pertama kali di PAU.

Beliau hadir ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO atas jemputan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Mohamad Hafis berpandangan, jemputan rasmi daripada Dr Muhamad Akmal merupakan satu diplomasi pintu terbuka.

Menurutnya, jemputan terbabit secara tidak langsung mendapat restu kepimpinan utama UMNO walaupun hanya disampaikan oleh Ketua Pemuda.

"Walaupun status keahliannya masih menjadi tanda tanya, tetapi penerimaan terbuka perwakilan di PAU kali ini akan menjadi 'ujian litmus' atau kayu pengukur sama ada UMNO sudah bersedia untuk menerima semula kepimpinan KJ secara rasmi dalam masa terdekat," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau melihat ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang mengakui kemerosotan penyokong tegar adalah satu amaran buat parti.

Justeru, Mohamad Hafis memberitahu, tindakan membawa KJ kembali ke dalam naratif perjuangan adalah sebahagian daripada persiapan PRU16 merupakan strategi menamatkan trend exit bagi menarik kembali sokongan ahli kepada UMNO.

"UMNO sedar bahawa untuk menang, mereka memerlukan gabungan tokoh berpengalaman dan tokoh teknokratik yang mampu menawarkan solusi segar kepada rakyat, jadi kembalinya KJ mampu melancarkan strategi big tent dan winnablity candidate dengan menampilkan muka baru yang lebih berintegriti dalam PRU nanti," tambahnya.

Seorang lagi penganalisis politik, Mujibu Abd Muis turut mengakui kehadiran Khairy membawa pelbagai isyarat penting termasuklah kesediaan UMNO untuk menerima kembali ahli-ahli yang dipecat ataupun digantung dari parti sebelum ini.

Mengulas mengenai kemungkinan Khairy diterima kembali ke dalam UMNO, beliau berpandangan tidak ada yang mustahil berikutan sejarah politik parti itu yang bersedia menerima bekas ahli sebelum ini.

Beliau menambah, Khairy mempunyai nilai strategik dalam konteks mempengaruhi sokongan pengundi muda dan pengundi atas pagar, apatah lagi ada penyokong melihat beliau sebagai pemimpin masa depan negara.

"Untuk beliau masuk balik UMNO, adalah tidak mustahil berlaku dan mungkin ini menjadi satu isyarat bahawa UMNO bersedia untuk move on dan memberi peluang kepada anak-anak muda dan tokoh baharu," ujarnya.

Oleh itu, Mujibu melihat kehadiran Khairy dalam PAU menjadi faktor penting yang mungkin membantu memulihkan keyakinan akar umbi dan menguatkan semula imej UMNO sebagai parti arus perdana.

"UMNO memerlukan segala kekuatan dan orang-orang yang lama seperti KJ, Shahril Sufian Hamdan dan sebagainya, mereka boleh beri sumbangan signifikan memulihkan kembali UMNO dan yakinkan kembali akar umbi," katanya.

Khairy dipecat daripada UMNO pada 23 Januari 2023 susulan dakwaan memperlekehkan dan mensabotaj kempen Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Sebelum ini, beliau turut mengkritik UMNO secara terbuka dengan mendakwa parti itu telah tersasar daripada hala tuju asal, selain menampilkan dirinya sebagai alternatif politik.