Bersatu perlu kekal teraju PN - Mohd Zuhdi

MEMASUKI 2026, landskap politik negara kembali bergelora dengan satu persoalan besar bakal menentukan hala tuju pembangkang mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Siapakah bakal Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Bagi masyarakat umum, perdebatan sebenar calon pengerusi baharu PN bukan sekadar soal nama, tetapi congakkan strategi, citra dan keupayaan memimpin dalam gelanggang politik berbilang kaum yang semakin kompleks.

Ketika Pas muncul sebagai paksi utama PN dalam pasca-pengunduran Muhyiddin dan pemimpin Bersatu sealirannya, pelbagai nama diperdebatkan daripada tokoh ulama, pemimpin negeri popular hinggalah negarawan veteran.

Persoalan lebih besar, adakah populariti atau pengalaman semata-mata mencukupi untuk mengangkat PN keluar daripada bayang kelesuan berpunca episod perpecahan dalaman?

Dalam masa sama, getaran daripada kem UMNO yang kembali menguji idea Muafakat Nasional (MN) menambah kerumitan terhadap percaturan ini.

Antara kesetiaan kepada kerajaan Madani serta nostalgia kerjasama lama, politik Melayu-Islam hakikat kembali berada di persimpangan kritikal antara parti Melayu seperti UMNO, Pas dan Bersatu.

**media[3394899]**

Perkara itu diakui Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang melihat hala tuju PN pasca pengunduran Muhyiddin masih belum jelas dan seolah-olah tidak mempunyai kepastian.

Sebagai pesaing utama kepada parti teras Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), beliau berpendapat PN sepatutnya menonjolkan parti komponennya sebagai gabungan kuat mendepani pilihan raya akan datang.

"Untuk jangka masa panjang, agenda penyatuan ummah menerusi MN 2.0 mungkin boleh menjadi salah satu agenda penting kolaborasi parti Melayu.

"Bagaimanapun, untuk menghadapi pilihan raya terdekat, saya masih tidak nampak kejelasan MN 2.0.

"Setakat ini, saya tidak melihat keseriusan sebenar kepimpinan tertinggi kedua- dua belah pihak, bukan sekadar di peringkat pemuda untuk mengembalikan MN sebagaimana pada 2019," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

**media[3394896]**

Mengulas lanjut, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu mengunjurkan, sekali pun MN 2.0 berjaya dihidupkan dalam tempoh terdekat, beliau tidak nampak jalan realistik untuk MN 2.0 menjadi gabungan pilihan raya mendepani PRU16.

Tambah Mohd Zuhdi, agenda penyatuan ummah melalui MN 2.0 mungkin lebih relevan diusahakan melangkaui objektif memenangi PRU16.

Bagaimanapun, beliau masih yakin perkara paling praktikal dan relevan pada masa ini adalah mengembalikan pusat kuasa PN.

"Pada pandangan saya, Pas masih menaruh harapan tinggi terhadap pengukuhan PN bagi menghadapi PRU16.

"Namun, persoalan kepimpinan masih timbul, sama ada Pas perlu ke hadapan memegang teraju atau dibuat pertimbangan semula termasuk menyusun semula kepimpinan sedia ada," jelasnya.

Atas pertimbangan politik lebih realistik, Mohd Zuhdi berpendapat belum sampai masanya untuk Pas tampil ke hadapan sebagai 'frontliner' PN atau mempertaruhkan calon parti itu sebagai 'poster boy' PRU16.

Ini kerana PN sebagai sebuah gabungan masih memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu walaupun dalam peratusan kecil.

Selain itu, beliau menegaskan PN juga perlu membuka ruang kerjasama politik di Sabah dan Sarawak termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Walaupun saya ahli Pas, kita perlu akui sentimen Islamofobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam di negara ini masih kuat.

"Jika Pas di hadapan, ia boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam, sekali gus menyukarkan usaha menarik sokongan mereka.

"Sebaliknya, ketika Muhyiddin menjadi Pengerusi PN, kita melihat ada peralihan sokongan pengundi bukan Melayu ke arah PN. Poster boy PN hakikatnya masih memerlukan figura Bersatu bagi mengimbangi sentimen Islamofobia dan kebimbangan politik di Sabah dan Sarawak," tambahnya.

**media[3394900]**

Hujah Mohd Zuhdi turut disokong bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Azizi Safar.

Beliau menjangkakan akan berlaku 'pusingan U' dalam isu pelantikan jawatan Pengerusi PN apabila Muhyiddin dijangka 'dipujuk' semula kepimpinan Pas untuk kembali menerajui gabungan.

"Setakat saya maklum, walaupun Muhyiddin telah menyatakan hasrat meletakkan jawatan, perkara itu belum disahkan Majlis Tertinggi PN.

"Selagi belum diputuskan secara rasmi, masih ada ruang untuk beliau dikekalkan sebagai pengerusi.

"Sekiranya berlaku pemilihan pengerusi baharu, dari sudut amalan konvensyen dan logik politik, jawatan tersebut wajar dipegang presiden parti komponen utama. Tidak logik seorang bukan presiden mengetuai gabungan politik nasional," tegasnya.

Justeru, Azizi melihat jawatan pengerusi parti gabungan bukan sekadar mempengerusikan mesyuarat tetapi berperanan sebagai ketua gabungan, jurucakap rasmi dan individu yang menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pembentukan kerajaan.

"Jika kedudukannya lebih rendah dalam hierarki parti, ia bakal menimbulkan konflik," ujarnya.