SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat antara paling sengit dan berisiko tinggi dalam sejarah negeri itu kerana tiada satu gabungan dijangka memiliki dominasi mutlak.
Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, keadaan itu didorong oleh tiga faktor utama iaitu politik melibatkan banyak gabungan, kesedaran rakyat terhadap isu autonomi negeri dan kematangan politik pengundi yang semakin bijak menilai calon.
“Dalam keadaan sebegini, setiap kerusi menjadi medan pertarungan yang tidak boleh dipandang ringan.
“Keputusan PRN kali ini dijangka mencerminkan perubahan budaya politik Sabah ke arah pola yang lebih kompetitif, pragmatik dan berasaskan isu,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, jelas beliau, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih mempunyai sedikit kelebihan sebagai parti pemerintah terutama dari sudut jaringan pentadbiran dan konsistensi kempen di kawasan luar bandar.
“Namun, kelebihan ini diimbangi oleh beberapa faktor yang melemahkan kedudukan gabungan tersebut termasuklah ketiadaan kerjasama rasmi dengan Barisan Nasional (BN) seperti PRN lalu,” katanya.
Tambah beliau, perpecahan undi melibatkan Parti Warisan (Warisan), BN, parti-parti tempatan seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) serta pengaruh Pakatan Harapan (PH) melalui kerjasama dengan GRS dalam isu tertentu menjadikan keputusan sukar diramal.
Secara umumnya, Hussain Yusri berkata, PRN kali ini juga lebih bersifat seimbang dan terbuka, dengan setiap gabungan mempunyai peluang, masing-masing bergantung kepada kekuatan calon serta sokongan komuniti setempat.
“Dari sudut ke-cenderungan ideologi pengundi muda Sabah pula, coraknya bersifat hibrid.
“Mereka tidak sepenuhnya terikat kepada ideologi atau naratif pembangunan semata-mata tetapi dipengaruhi oleh keseimbangan antara isu semasa dan personaliti calon.
“Walaupun meningkat dari sudut literasi politik, generasi muda masih melihat kredibiliti individu, hubungan pemimpin dengan komuniti dan rekod kerja sebagai faktor penting,” katanya.
Ujar beliau, perkembangan itu secara tidak langsung menunjukkan politik personaliti masih hidup di Sabah tetapi kini bergandingan dengan penilaian lebih kritikal terhadap prestasi dan integriti.
Medan pertarungan bagi PRN Sabah ke-17 membuka gelanggangnya pada Sabtu dengan proses penamaan calon di 25 lokasi bermula bagi merebut 73 kerusi yang dipertandingkan.
Seramai 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.