SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 4 November lalu tidak membincangkan sebarang keputusan berkaitan memberi peluang kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali semula ke dalam parti.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, laporan media tempatan yang memetik dakwaan 'sumber dalaman' kononnya isu itu dibawa dalam mesyuarat tersebut adalah tidak tepat serta mengelirukan.
"Merujuk kepada tajuk berita 'Bersatu beri peluang pemimpin dipecat, digantung kembali’ seperti yang dilaporkan pada 6 November 2025, saya ingin memaklumkan bahawa perkara tersebut tidak dibincangkan dalam Mesyuarat MPT Bersatu pada 4 November 2025.
"Laporan yang memetik kenyataan ‘sumber dalaman’ parti bahawa perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat MPT adalah tidak benar dan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Tun Faisal, proses berhubung tindakan disiplin serta rayuan ahli telah diperuntukkan dengan jelas di bawah Perlembagaan parti.
“Berdasarkan Fasal 22.6, mana-mana ahli yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Lembaga Rayuan kemudiannya akan mempertimbangkan dan memutuskan kedudukan rayuan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepadanya," katanya.
Sebelum ini, Bersatu berdepan pergolakan dalaman selepas isu beberapa pimpinan didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) mendesak pengunduran Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Susulan itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal.
Kedua-duanya kemudiannya mengkritik kepimpinan parti secara terbuka serta mempertikai keputusan Lembaga Disiplin.
Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi sasaran sebenar tindakan tersebut.
Pada 1 November lalu, media mendedahkan satu surat melibatkan 16 Ahli Parlimen Bersatu kepada Presiden parti, menyatakan kebimbangan terhadap kemelut dalaman selain menyifatkan tindakan pemecatan dan penggantungan itu sebagai langkah yang tidak bijak.
Justeru, Tun Faisal dalam kenyataannya menegaskan, segala proses berkaitan kedudukan ahli dalam parti akan terus mengikut peraturan dan prosedur yang termaktub.
“Kita menghormati perlembagaan parti dan semua keputusan mesti diputuskan melalui saluran yang sewajarnya," katanya.