KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) menumpukan strategi kempen berasaskan keperibadian calon berwibawa, berpendidikan dan dekat dengan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, parti itu percaya pengundi Sabah lebih cenderung menilai calon berdasarkan sifat peribadi dan hubungan dengan masyarakat berbanding janji-janji politik yang sering dijadikan tumpuan dalam kempen tradisional.
“Bagi pengundi di Sabah, faktor calon sangat penting. Mereka melihat siapa individu yang akan mewakili mereka, bukan sekadar parti.
“Sebab itu Amanah menampilkan calon yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, tetapi juga diterima oleh komuniti setempat,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Dron Pertanian 2025 Zon Timur di sebuah hotel di sini.
Sebelum ini, pengasas sebuah pusat tahfiz, Mohd Julpikar Ab Mijan diumumkan sebagai calon Amanah yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan.
Mengulas pemilihan calon itu, Khalid berkata, Amanah mahu membawa politik berasaskan nilai dan integriti dengan menonjolkan calon yang mempunyai kredibiliti serta rekod perkhidmatan yang diyakini rakyat.
“Kami mahu rakyat melihat bahawa Amanah membawa politik yang bersih dan matang.
“Kami tidak berjanji sesuatu yang di luar kemampuan, sebaliknya menampilkan calon yang mampu berkhidmat dengan keikhlasan dan tanggungjawab,” ujarnya.
Mohd Julpikar merupakan anak tempatan dari Pulau Bum Bum, seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat yang aktif dalam bidang pendidikan serta pembangunan komuniti.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah dan Undang-Undang) dari Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau, Indonesia serta mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan, dakwah dan penglibatan dalam badan bukan kerajaan.
Antara pengiktirafan yang pernah diterima beliau termasuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Semporna 2023.
“Beliau mempunyai latar belakang keluarga yang dihormati. Bapanya pernah menjadi ketua kampung dan beliau disenangi masyarakat.
“Kami akan usahakan kemenangan calon Amanah ini di Sabah,” kata Khalid.