PRN Sabah: BN letak calon di kerusi boleh menang – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) hanya akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi boleh menang tinggi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah nanti.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kuasa autonomi telah diberikan kepada UMNO dan BN Sabah dalam menentukan calon serta kerusi yang akan ditandingi, keputusan akhir tetap akan mengambil kira faktor kebolehmenangan.

“Kita harus mengakui hakikat bahawa kita hendaklah meletakkan calon-calon di kerusi-kerusi yang dijangka menang atau yang berpotensi untuk menang. Kebolehmenangan ini bergantung kepada beberapa faktor, dan kita akan menentukan serta memuktamadkan calon-calon yang telah dikemukakan itu.

“Saya menerima antara tiga hingga lima calon bagi setiap kawasan DUN, dan saya bersama-sama rakan-rakan dari Sabah serta ibu pejabat akan meneliti dan memuktamadkan hanya kerusi-kerusi yang dijangka mempunyai kebolehmenangan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Pantai Odec, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Sabtu.

Ditanya sama ada jumlah kerusi yang akan ditandingi BN berada di bawah 48 seperti disebut sebelum ini, Presiden UMNO itu menjelaskan bahawa penentuan akhir bergantung kepada kebolehmenangan setiap kerusi.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan bahawa baki kerusi selain yang ditandingi BN adalah milik Pakatan Harapan (PH).

“Kita telah mengadakan rundingan dengan PH dan memutamadkan supaya tidak timbul pertindihan antara BN dan PH.

“Setakat ini, saya mendapat maklumat bahawa PH masih lagi berunding dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menentukan kerusi-kerusi yang akan ditandingi,” katanya.

Sementara itu, mengenai 81 peratus calon yang akan dikemukakan BN Sabah termasuk 50 peratus daripadanya terdiri daripada calon muda, Ahmad Zahid menegaskan bahawa prinsip BN pusat adalah selari dengan prinsip yang diamalkan UMNO dan BN Sabah.

“Yang penting muka baharu, anak-anak muda mesti diberi peluang. Namun, kita tidak melupakan muka lama kerana mereka diyakini mendapat sokongan dan akan memberikan prestasi yang baik apabila dipilih oleh para pengundi Sabah yang kini cukup matang untuk menilai calon serta parti yang boleh membawa pembangunan lebih baik di negeri ini,” katanya.

Ditanya mengenai tarikh pengumuman manifesto BN, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan diumumkan selepas penamaan calon PRN nanti