PRN Sabah: Tempoh 39 hari untuk selesaikan krisis dalaman PKR dan DAP? – Teck Lee

KOTA KINABALU - Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee, menyifatkan tempoh panjang selama 39 hari antara pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hingga hari penamaan calon sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Sabah.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keperluan tempoh yang begitu lama.

"Tempoh panjang selama 39 hari dari pembubaran DUN hingga hari penamaan calon tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah politik Sabah.

"Ia sejak tempoh maksimum dari pembubaran kepada pengundian dikurangkan daripada 90 hari kepada 60 hari pada tahun 1980-an," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, berdasarkan perhitungan, tempoh dari pembubaran hingga hari pengundian kali ini adalah selama 53 hari, hampir mencapai had maksimum yang dibenarkan dalam Perlembagaan Sabah.

"Saya hanya boleh menganggap bahawa pemimpin tertinggi parti-parti dari Malaya (Semenanjung), khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan masalah dalaman serta perpecahan yang berpunca daripada pertikaian pencalonan.

"Kemungkinan juga, pemimpin Persekutuan termasuk Perdana Menteri mahu mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya Sabah sehingga selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 26 dan 27 Oktober ini," katanya.

Menurutnya, situasi itu memberi kesan langsung terhadap aktiviti ekonomi negeri apabila kerajaan Sabah kini berfungsi sebagai kerajaan “caretaker”, manakala sektor swasta pula mengambil sikap menunggu dan melihat sehingga pilihan raya selesai.

"Dengan kerajaan Sabah kini berfungsi sebagai kerajaan ‘caretaker’, dan sektor swasta pula mengambil sikap 'ditangguhkan sementara' sehingga pilihan raya selesai, tempoh penantian selama hampir dua bulan ini akan melemahkan aktiviti ekonomi negeri.

"Keadaan ini memberi kesan negatif terhadap ekonomi Sabah. Dalam erti kata lain, kepentingan Sabah sekali lagi kelihatan telah dikompromi," katanya.

Teck Lee turut berpandangan bahawa tempoh panjang sebelum pengundian itu mungkin membuka ruang kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR dan DAP, untuk berdepan perpecahan dalaman yang lebih serius.

"Bagi parti yang berdepan masalah dalaman yang serius, terutamanya PH-PKR dan DAP, masa tambahan antara sekarang dan hari pengundian mungkin menjadi peluang keemasan bagi pelbagai pihak dan panglima politik untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain, sekali gus mengheret Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tempoh tersebut boleh dimanfaatkan oleh parti-parti tempatan untuk memperkukuh jentera masing-masing dan mempertingkatkan semangat perpaduan di peringkat akar umbi.

"Sebaliknya, bagi parti tempatan yang lebih kompak, teratur dan berdisiplin, masa tambahan ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh jentera pilihan raya serta mempertingkatkan perpaduan sesama parti tempatan Sabah," ujarnya.

Katanya lagi, SAPP akan menggunakan masa yang panjang ini untuk mendekati rakyat secara langsung memandangkan kekangan yang dihadapi oleh parti-parti tempatan dalam akses kepada media arus perdana dan sumber logistik.

"SAPP akan menggunakan tempoh panjang antara sekarang dan hari pengundian untuk mengatasi pelbagai halangan yang dihadapi oleh parti-parti tempatan seperti kekangan akses kepada media arus perdana, kekurangan sumber kewangan serta kelemahan dari segi sokongan logistik," katanya.

Tambah beliau, SAPP bersama parti tempatan lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan terus bergantung kepada kekuatan rakyat Sabah sendiri, selain menumpukan usaha kepada jaringan tempatan dan pertemuan bersemuka dengan pengundi.

"SAPP dan parti-parti tempatan seperti STAR perlu bergantung sepenuhnya kepada sokongan rakyat tempatan.

"Memandangkan media arus perdana dikawal oleh kerajaan Persekutuan, manakala media sosial pula dibanjiri oleh cyber trooper dari Malaya yang jauh lebih besar jumlahnya, SAPP akan menumpukan usaha kepada rangkaian tempatan, pengetahuan tempatan serta pertemuan bersemuka dengan rakyat.

"Sentuhan peribadi melalui pertemuan mata ke mata ialah cara terbaik untuk menunjukkan keikhlasan perjuangan kita.

"Menteri-menteri Persekutuan yang terbang masuk dan keluar dari Sabah bersama proksi tempatan mereka mungkin hanya akan dilihat sebagai pelancong politik dalam misi memancing undi," katanya.