SHAH ALAM - UMNO memutuskan untuk menangguhkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 29 November kepada 14 hingga 17 Januari 2026.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan berlangsung antara 15 hingga 29 November 2025.
Menurutnya, penangguhan itu membolehkan seluruh kepimpinan dan jentera parti memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha membantu Barisan Nasional (BN) Sabah menghadapi PRN berkenaan.
"Dengan penangguhan ini, diharapkan kepimpinan dan jentera UMNO seluruh Malaysia dapat menumpukan sepenuh tenaga dan usaha membantu BN Sabah bagi meraih kembali kepercayaan rakyat untuk BN kembali mengemudi kerajaan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, PAU 2025 dijangka menjadi medan penting untuk membincangkan hala tuju parti termasuk strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, tumpuan kini beralih kepada PRN Sabah yang dilihat sebagai ujian penting kepada kekuatan BN dan UMNO dalam meraih semula sokongan di negeri berkenaan.