SHAH ALAM - Bekas Ketua Bersatu Bahagian Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi mendakwa pemecatannya daripada parti itu merupakan sebahagian daripada perancangan terancang kumpulan tertentu untuk menyingkirkan pemimpin yang tidak sehaluan.
Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Bersatu didakwa berat sebelah dan dikawal oleh kumpulan diketuai seorang pemimpin kanan parti.
“Pemecatan saya memang sudah dijangka kerana kebanyakan ahli dalam lembaga itu terdiri daripada kumpulan terbabit dan kita sudah tahu apa keputusannya,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau mendakwa tindakan terhadapnya bukan berpunca daripada salah laku, sebaliknya disebabkan perbezaan pandangan dalam urusan parti di peringkat bahagian.
“Ini semua perancangan untuk menyingkirkan orang yang tidak sebulu dengan mereka, tapi saya terima dengan hati terbuka,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata, beliau akan menunggu keputusan Lembaga Rayuan sebelum menentukan langkah seterusnya sama ada mahu merayu atau terus bergerak sebagai penyokong parti dari luar.
“Kita tunggu keputusan rayuan dan kalau perlu, kita akan merayu. Jika tidak, kita teruskan perjuangan dari luar,” ujarnya.
Mohd Isa menjelaskan bahawa meskipun telah dipecat, beliau kekal menyokong perjuangan Bersatu melalui platform Sukarelawan Bersatu, sebuah inisiatif sukarela tanpa kepentingan jawatan.
“Saya masih bantu Bersatu sebab bos kita, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin ada di situ kerana beliau pemimpin yang diterima semua ketua bahagian, kecuali mereka yang berebut jawatan,” katanya.
Terdahulu, Bersatu telah memecat keahlian Mohd Isa bersama empat lagi ahli termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Turut dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar dan Mohd Fahdli Ismail.
Dalam tindakan berasingan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.