PUTATAN - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, mempertimbangkan untuk bertanding semula pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bagaimanapun, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan memaklumkan, beliau masih belum menentukan hala tuju atau platform yang akan digunakan sekiranya bertanding dalam pilihan raya itu.
"Ini pilihan rakyat. Kita ingin dapatkan mandat daripada rakyat, bukan untuk cabar-mencabar. Jadi kita pulangkan kepada rakyat nanti untuk memilih dan menunaikan hak mereka memberi mandat kepada pemimpin yang mereka pilih.
"Saya mempertimbangkan untuk bertanding. Nanti akan kita umumkan (parti). Kita mempertimbangkan sebab masih banyak lagi perundingan-perundingan di antara parti yang ada sekarang," katanya.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian Seminar Lelaki Qawwam dan Bidadari Syurga serta Kursus Perdana Pra Perkahwinan di Dewan Sri Putatan, di sini pada Selasa.
Shahelmey sebelum itu diminta mengulas mengenai cabaran yang dilontarkan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin agar beliau bertanding tanpa menggunakan bendera Barisan Nasional (BN).
Tambah Shahelmey, tiada keperluan untuk tergesa-gesa membuat pengumuman kerana fokus utamanya kini adalah meneruskan khidmat kepada rakyat di lapangan.
Ketika ditanya mengenai keyakinannya untuk mempertahankan kerusi Tanjung Keramat, beliau berkata, keputusan itu turut mengambil kira maklum balas daripada pengundi di kawasan tersebut.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya turut menyatakan beliau berasa selesa dengan hubungan semasa antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat kerajaan negeri.
Shahelmey digantung keahliannya dalam UMNO selepas menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari 2023.