ALOR SETAR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kepimpinan Islam, Melayu dan bumiputera adalah tonggak perjuangan Pas, biarpun ia menimbulkan kebimbangan kepada pihak tertentu.
Beliau berkata, meskipun begitu, Pas akan mentadbir secara adil kepada semua kaum tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
“Akan tiba masanya Islam akan menang, pemimpin yang memimpin negara mestilah beragama Islam, Melayu dan bumiputera,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Selasa.
Menurutnya, pemilihan kepimpinan dalam parti itu ditentukan oleh pucuk pimpinan Pusat secara menyeluruh, bukan mengikut kehendak atau selera pihak tertentu.
“Kesetiaan kepada pemimpin merupakan syarat utama dalam perjuangan Islam, selagi mana syarat yang digariskan al-Quran dan Sunnah dipenuhi termasuk menjaga hubungan dengan ALLAH SWT, hubungan sesama manusia serta istiqamah dalam ajaran Islam.
“Pemimpin yang dilantik Pusat adalah untuk mentadbir. Ada yang mahu pimpin ikut selera dan puak masing-masing. Pas dengar semua pandangan, tetapi Pusat lihat secara menyeluruh,” ujarnya.
Tambah beliau, setiap keputusan yang dibuat pucuk pimpinan adalah muktamad selepas mendengar pandangan pelbagai pihak.
“Siapa calon pilihan raya, menteri besar atau pesuruhjaya negeri, semuanya Pusat yang tentukan.
“Kalau ada kelemahan pada pemimpin, boleh ditegur dan diberi nasihat. Tetapi siapa sahaja yang dilantik, kita wajib taat. Ini penting untuk kita cepat mencapai kemenangan. Akan tiba masanya Islam akan menang,” tegasnya.
Dalam ucapan hampir dua jam itu, Abdul Hadi turut menyentuh beberapa perkara antaranya sejarah kebangkitan Islam dan sejarah politik Islam.