SHAH ALAM - Pas sepatutnya tampil lebih yakin untuk mengambil peranan utama dalam Perikatan Nasional (PN) sebaik sahaja tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya menunggu sehingga menjelang PRU16.
Malah, langkah awal Pas yang menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang kepada Bersatu juga dianggap sebagai satu kesilapan percaturan.
Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, ini kerana pasca PRU15 menyaksikan Pas bukan sahaja muncul sebagai parti paling banyak kerusi dalam PN, malah dalam Parlimen hingga memintas DAP, PKR dan Barisan Nasional (BN) jika dikira sebagai parti individu.
“Memang relevan (usul Pas perlu pimpin PN dan ada calon Perdana Menteri untuk PRU16), malah ia patutnya dibangkitkan sebaik sahaja tamat PRU15.
“Dalam rundingan PN ketika itu, Pas enggan mengambil jawatan Ketua Pembangkang dalam Parlimen yang diserahkan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Pas sepatutnya bersikap yakin sejak awal lagi dan mengkedepankan agenda Islam sebagai etos yang mendefinisikan perjuangan PN.
“Inilah kesilapan percaturan awal kepimpinan Pas, jadi apabila dibangkitkan baharu sekarang menjelang PRU16, kita mesti merujuk kepada cubaan Bersatu tempoh hari dalam menonjolkan calonnya sebagai calon PM Bersatu yang diharapkan menjadi calon PM PN juga,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, calon-calon di bawah PN harus lebih berhati-hati kerana masyarakat mahukan keadaan politik matang yang sempurna yang bukannya polemik politik berkepentingan individu.
Relevannya ujar beliau, ia harus berbentuk mikro kepada kepentingan rakyat kerana tiada sebarang manfaat sekiranya hanya mempunyai calon-calon populariti tinggi namun gagal membawa satu bentuk pencernaan yang baik dalam politik negara.