Pas bukan lagi parti untuk ahli, tapi semua rakyat- Perwakilan

ALOR SETAR - Pas kini bukan lagi sebuah parti yang hanya untuk ahlinya, sebaliknya sudah menjadi parti untuk semua rakyat.

Perwakilan Dewan Pemuda Pas, Azamuddin Sahar berkata, pola pengundian kebelakangan ini menunjukkan sokongan terhadap parti itu melangkaui tradisi dan semakin meluas.

Menurutnya, statistik pilihan raya umum (PRU) lalu juga mendedahkan lebih separuh daripada pengundi muda memilih Perikatan Nasional (PN).

“Pas sendiri, hanya 40 peratus daripada mereka yang mengundi parti ini adalah ahli berdaftar, manakala baki 60 peratus datang dari luar.

“Dengan kata lain, daripada setiap 10 orang yang menyokong kita pada PRU15, hanya empat merupakan ahli parti, manakala enam lagi bukan ahli,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas ke-71 pada Isnin.

Azamuddin berkata, perkembangan itu menandakan perubahan besar apabila Pas kini berkembang menjadi sebuah gerakan politik yang lebih luas.

“Pas tidak lagi terhad kepada keanggotaan di peringkat akar umbi, sebaliknya kini tampil sebagai parti untuk rakyat yang dipercayai serta disokong oleh jutaan rakyat tanpa mengira keahlian rasmi,” ujarnya.

Menurutnya, pendekatan politik lama tidak lagi relevan untuk mendekati generasi muda hari ini.

“Medan perjuangan anak muda kini berada di media sosial seperti TikTok, Instagram, podcast, malah perbincangan santai di kafe. Inilah gelanggang sebenar politik generasi kini,” katanya.

Azamuddin menegaskan, sekiranya Pas mahu meraih kemenangan pada pilihan raya umum akan datang, parti itu mesti terlebih dahulu memenangi hati pengundi muda.

“Kita mesti tawan hati anak muda dengan naratif segar dan lebih agresif. Apabila kita menguasai media, kita boleh membentuk pemikiran mereka. Generasi Z perlu didekati dengan cara yang sesuai dengan era mereka,” katanya.