ALOR SETAR - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah mengakui agak sukar untuk Pas membentuk kerajaan di Sabah berikutan suasana politik semasa, namun tetap optimis beberapa kerusi mampu dimenangi.
Beliau berkata, Pas akan tetap memberikan saingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan yakin sokongan pengundi terhadap parti itu semakin meningkat.
“Akan ada kerusi yang kita menang. Sebelum ini Pas sasarkan bertanding tujuh kerusi, tetapi ada perkembangan baharu yang mungkin membolehkan jumlah kerusi ditambah, cuma belum dimuktamadkan.
“Apabila Dewan dibubarkan, Insya-ALLAH kita akan umumkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas kali ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.
Mohd Amar berkata, Pas juga menyasarkan untuk memenangi 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung tahun depan.
“Sasaran itu selaras dengan strategi parti termasuk usaha memperkukuh sokongan pengundi bukan Melayu yang kini dilihat semakin kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Insya-ALLAH dengan pendekatan yang betul dan bijaksana, kita dapat menarik sokongan mereka. Kalau kita ketinggalan dalam sokongan bukan Melayu, PH pula ketinggalan dalam sokongan Melayu. Jadi situasi ini seri,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan kekecewaan rakyat serta pendekatan Pas yang tepat dalam menarik sokongan bukan Melayu, parti itu yakin sokongan terhadap Pas akan terus meningkat.
Dalam ucapannya sebelum itu, Mohd Amar mendakwa rakyat termasuk bukan Melayu semakin kecewa terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.
“Setelah melihat kepincangan UMNO, rakyat beri harapan kepada Pakatan Harapan. Sekarang PH turut menerima kritikan termasuk daripada pengundi Cina, ini menggambarkan penolakan besar terhadap PH dan Perdana Menteri.
“Pengundi kecewa dan menolak PH selepas tiga tahun menjadi kerajaan. Ini potensi besar kepada pembangkang untuk ambil peluang. Jika dikatakan kita ‘menangguk di air keruh’, tidak mengapa.
“Pas perlu manfaatkan potensi itu ketika rakyat terkapai-kapai dengan isu semasa yang meresahkan,” katanya.