Dakwaan hak pelajar cemerlang dinafikan tidak berasas - Pemuda UMNO

SHAH ALAM - Dakwaan Pemuda MCA bahawa pelajar cemerlang dinafikan hak di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disifatkan sebagai tidak berasas dan mengelirukan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie berkata, jika benar kes seperti yang didakwa berlaku, maka pihak berkenaan perlu mengemukakan data rasmi terus kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Malah, KPT telah menyediakan saluran rayuan dan kaunter maklum balas bermula 8 hingga 14 September ini untuk menangani sebarang isu yang timbul.

“Menyebarkan persepsi tanpa fakta hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Pemuda MCA mendakwa pelajar cemerlang dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 gagal mendapat tempat di IPTA.

Mengulas dakwaan bahawa tempat anak tempatan telah diambil oleh pelajar antarabangsa, Mohamad Sollehin berkata, fakta jelas menunjukkan lebih 97 peratus pelajar prasiswazah di IPTA adalah anak tempatan.

Menurutnya, penempatan pelajar antarabangsa hanya sekitar dua hingga tiga peratus sahaja di peringkat ijazah pertama, manakala peningkatan berlaku di peringkat pascasiswazah iaitu sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Pascasiswazah merupakan peluang untuk universiti menambah baik penyelidikan, kerjasama antarabangsa, kedudukan dan fasiliti universiti melalui yuran penuh yang dibayar oleh pelajar antarabangsa pascasiswazah.

“Keadaan ini sama sekali tidak menjejaskan peluang anak tempatan di peringkat prasiswazah kerana kuota dan kedudukan itu masih dikawal,” katanya.

Tegasnya, Pemuda UMNO akan terus bersuara demi kepentingan rakyat secara keseluruhan, bukan menuduh tanpa menyelidik fakta dalam soal pendidikan.

“Henti menjadikan pendidikan sebagai senjata politik untuk kepentingan parti, tanpa memikirkan kesan negatif akibat perbuatan tersebut.

“KPT kekal komited memastikan setiap anak Malaysia yang layak, khususnya mereka yang memperoleh keputusan cemerlang, diberikan peluang menyambung pengajian di IPTA,” ujar Mohamad Sollehin.