MyPPP tidak akan tinggalkan BN ketika susah - Loga Bala

IPOH - Parti Progresif Penduduk (MyPPP) tidak akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) ketika gabungan itu berdepan kesukaran, kata Presidennya, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Beliau berkata, pendirian itu telah dibuktikan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, apabila MyPPP kekal bersama BN meskipun gabungan tersebut berdepan cabaran paling getir dalam sejarahnya.

"Kebanyakan pemimpin yang setia dalam MyPPP percaya kita tidak boleh lepaskan tangan pada masa-masa kesusahan. Masa senang, kita sudah bersama. Jadi takkan bila BN susah, kita cuci tangan, itu bukan cara kita.

"Cara MyPPP ialah bantu dan bersama parti dalam kesenangan atau kesusahan. Kita tidak akan mengkhianati kawan ketika mereka berada dalam kesukaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MyPPP Perak ke-72 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi MyPPP Perak, Datuk Lee Heng dan Setiausaha BN Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

**media[3265118]**

Menurut Loga Bala, walaupun MyPPP pernah berdepan isu dalaman sehingga pendaftarannya dibatalkan, parti itu kembali aktif selepas berjaya dalam rayuan dan tetap memilih untuk kekal dalam BN.

"Dalam sejarah parti, kita pernah dibawa ke mahkamah dengan 26 kes dan kita menang semua. Itu membuktikan kesetiaan kita.

"MyPPP kembali bukan melalui permohonan baharu, tetapi melalui rayuan. Sebab itu, kedudukan kita dalam BN tidak pernah terputus,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan MyPPP tidak akan mengikut langkah mana-mana parti komponen lain yang meninggalkan BN.

“Kawan sejati ialah kawan yang tidak lari ketika rugi. Kalau masa senang cari kawan, masa susah lari, itu bukan kawan," tegasnya.

Loga Bala turut memberi jaminan bahawa MyPPP akan terus memberi sokongan kepada BN dengan cara yang berprinsip dan sah di sisi undang-undang.

"Kita tidak akan gunakan cara buruk untuk dapat apa yang kita mahu. Kita akan buat dengan cara yang betul. Kalau BN perlukan kita, kita ada. Kalau tidak, kita tetap hormat,” katanya.