MUHYIDDIN Yassin telah memulakan langkah berani untuk menyatukan semua ketua-ketua parti menyertai satu gabungan longgar dengan tujuan menyaingi Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, kesediaan 12 pemimpin untuk bersama dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menimbulkan persoalan.
Kebanyakan pemimpin itu bukan sahaja lantang bersuara dan ideologi berbeza, malah ada yang pernah dilabel sebagai ekstremis dan liberal.
Lebih unik Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat sebagai Timbalan Presiden Bersatu mengimbau babak-babak pengkhianatan dalam filem Blood Brothers - Bara Naga.
Tetapi kini mereka kini duduk semeja dengan Muhyiddin untuk bersama-sama melawan Kerajaan Perpaduan dan bekas Perdana Menteri itu ibarat ketua dalam kalangan 'naga-naga'.
Sepanjang lebih enam dekad, sekurang-kurangnya 10 kerjasama longgar pernah wujud termasuk Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) yang pernah menggugat dominasi BN.
Antara contoh awal adalah persefahaman DAP dan Parti Progresif Penduduk (PPP) di Perak menjelang PRU 1969 bagi mengelak pertembungan sesama sendiri. Walaupun sementara, ia membuka jalan kepada jajaran lebih besar.
Tahun 1990 menyaksikan kemunculan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) melibatkan Pas, Semangat 46 dan parti Islam kecil, selain Gagasan Rakyat yang diterajui Semangat 46 bersama DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Kedua-duanya membuktikan parti berbeza ideologi mampu berpakat mencabar BN walaupun tanpa logo bersama.
Selepas itu muncul BA (1999) dan PR (2008–2015), dengan kerjasama Pas-DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin mencabar BN namun berakhir kerana percanggahan ideologi.
Pas kemudian menubuhkan Gagasan Sejahtera (2016) bersama Ikatan dan Berjasa, sementara BN menubuhkan Friends of BN selepas PRU14.
UMNO-Pas turut memeterai Muafakat Nasional (2019), disusuli PH Plus (2020) ketika PRN Sabah serta kerjasama dwipartisan BN-PN-PH selepas krisis politik 2021.
Terkini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 12 parti pembangkang sepakat menubuhkan gabungan longgar baharu bagi memperjuangkan isu yang didakwa gagal ditangani Kerajaan Madani.
Gabungan itu menghimpunkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan, Pejuang, Parti Ikatan Muda (Muda), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Berjasa, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) yang belum didaftarkan secara rasmi.
Ahli Parlimen PKR, Hassan Abdul Karim menyifatkan pembentukan gabungan longgar rentas kaum ini sebagai perkembangan positif.
“Kemunculan dua blok politik besar – 12 parti pembangkang dan 17 parti kerajaan – akan membantu mewujudkan suasana aman menjelang PRU16,” katanya.
Namun, pakatan ini berisiko menjadi ‘senjata makan tuan’ jika naratif politik identiti antara parti-parti di dalamnya gagal diurus.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar menilai gabungan tersebut sekadar eksperimen politik untuk menguji penerimaan rakyat terhadap kerjasama PN dengan bekas musuh politik mereka.
“Kalau berlaku kerjasama rasmi, mungkin ada penolakan terhadap PN terutama penerimaan tokoh seperti Dr P Ramasamy.
“Ini probation period untuk elak naratif PN menggadai prinsip Melayu Islam dan jika tidak mendapat sambutan, PN tidak akan menanggung beban politik besar,” katanya.
Menurut Hisommudin, sejarah membuktikan pakatan longgar sukar memberi impak kepada kestabilan politik parti pemerintah seperti BN dan Kerajaan Perpaduan.
Ini kerana parti kecil seperti Urimai dan MIPP diunjur belum mempunyai kekuatan untuk menguasai undi India yang dianggap lebih realistik digapai PN berbanding undi masyarakat Cina pada saat ini.
“Jika naratif perbezaan ideologi dan identiti politik tidak ditangani sebaiknya, kerjasama ini boleh backfire.
“Hanya jika parti besar seperti MIC dan MCA turut serta, barulah ada potensi pembangkang mampu menyaingi pengaruh kerajaan,” jelasnya.
Ironinya, Pengerusi Penaja Urimai, Dr P Ramasamy pula melihat gabungan ini sebagai percaturan penting PN menjelang PRU.
“Pas dan PN lebih kepada sokongan Melayu, jadi bagaimana hendak dapatkan sokongan Cina dan India? Di sinilah parti bukan Melayu seperti Urimai, MIPP dan Gerakan boleh isi kekosongan itu,” katanya.
Beliau menegaskan walaupun ada perbezaan ideologi, gabungan ini mampu melengkapkan kekuatan pembangkang.
“Kalau gabungan ini mendatangkan hasil, barulah boleh dibincangkan asas kerjasama pilihan raya secara serius,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim pula menekankan kerjasama longgar ini bukan semata-mata untuk PRU16, tetapi platform penyatuan suara isu rakyat.
“Kita boleh duduk sekali untuk bersama setuju dalam banyak perkara... kalau berbeza letak tepi dahulu. Fokus utama ialah tangani isu rakyat bersama,” katanya.
Awang menambah, pakatan longgar juga ruang untuk parti-parti yang berbeza ideologi dan inti pati perjuangan dalam pakatan itu untuk memahami budaya dan kepercayaan masing-masing.
“Bila kita bersama, sudah ada pemahaman.
“Malah ini satu kaedah orang Islam, bila kita menerangkan kehendak Islam seperti hukum, itu adalah dakwah... paling penting saling menghormati,” katanya.