'Jangan dianggap cuba jatuhkan kerajaan'

SHAH ALAM - Gabungan longgar melibatkan 12 parti pembangkang berkemungkinan berdepan cabaran daripada segi sentimen dan persepsi masyarakat terhadap kestabilan pembentukannya.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, sentimen itu perlu ditangani secara berhemah dan rasional, sekali gus melahirkan kepercayaan bahawa gabungan tersebut mampu mempunyai hala tuju dasar yang jelas meskipun berbeza ideologi serta kepentingan politik.

“Cabaran utama adalah untuk melahirkan keyakinan dan usaha memerangi sentimen serta persepsi dalam konteks melangkaui sesuatu pembentukan gabungan.

“Perlu ada satu keunikan berdasarkan kepada kekuatan (gabungan) yang dibina. Jika tidak orang akan melihat ini sekadar satu lagi gabungan besar yang cuba dibentuk untuk menjatuhkan kerajaan.

“Walhal yang lebih besar daripada itu ialah ideologi atau pun fahaman yang sama, walaupun berbeza parti politik namun ada satu bentuk kebersamaan yang perlu dibina,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, sebanyak 12 parti pembangkang bersetuju menubuhkan sebuah gabungan longgar bagi memperjuangkan isu rakyat yang didakwa gagal ditangani Kerajaan Madani, termasuk janji reformasi yang masih belum dilaksanakan.

Mengulas lanjut mengenainya, Sivamurugan berkata, gabungan itu juga mampu membentuk blok yang kukuh sekiranya hasrat yang mereka cuba sampaikan adalah berdasarkan kepentingan masyarakat secara umum.

“Kita lihat gabungan itu melibatkan sebanyak 12 parti. Dalam konteks negara kita, parti gabungan sememangnya memainkan peranan.

“Jadi bagaimana gabungan tersebut menggunakan masa yang ada sebelum pilihan raya bagi menunjukkan bahawa (gabungan) ini adalah salah satu pilihan yang ada,” ujarnya.

Menurut beliau, kekuatan gabungan longgar tersebut ditentukan berdasarkan sejauh mana parti berkenaan mampu mencari titik persamaan.

“Ia bukan sekadar menjatuhkan persaingan politik tetapi dari sudut (keyakinan) bagaimana ia mahu dilihat oleh rakyat, sama ada pengundi tegar atau pengundi atas pagar.

“Semua ini harus dibina daripada usaha meraikan perbezaan dan pada masa sama fokus kepada pengukuhan kebersamaan,” katanya.