SHAH ALAM – Tindakan lebih 160 ketua bahagian UMNO yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan titah adendum berkaitan Datuk Seri Najib Razak berisiko menggugat kestabilan politik negara.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, desakan itu tidak wajar memandangkan kerajaan kini berada dalam keadaan stabil serta sedang giat memacu pemulihan ekonomi negara.
“Adalah satu kerugian besar jika kestabilan politik yang sedang dikecapi kini tergugat hanya kerana satu tuntutan yang bersifat mendesak campur tangan Perdana Menteri dalam urusan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu, isu berkaitan titah adendum masih dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, justeru sebarang desakan supaya Perdana Menteri melaksanakannya adalah tidak wajar serta boleh dianggap mencampuri urusan mahkamah.
“Kerajaan pimpinan Anwar sejak awal lagi berpegang teguh kepada prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.
“Maka, sebarang keputusan berkaitan titah berkenaan wajar ditunggu secara sah melalui keputusan mahkamah,” ujarnya.
Tambah beliau, jika keputusan muktamad telah diperoleh kelak, kerajaan pasti akan bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Sehubungan itu, Syed Badli menyeru kepimpinan UMNO agar memainkan peranan meredakan tekanan tersebut demi mengelakkan tercetusnya ketidaktentuan politik yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap negara.